SPR tiada kuasa siasat, dakwa kesalahan pilihan raya

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa siasatan mahupun kuasa pendakwaan kesalahan pilihan raya, dedah Pengerusi Azhar Azizan Harun hari ini.

Oleh itu Azhar menyarankan mana-mana pihak yang secara peribadi mempunyai maklumat mengenai pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya supaya melaporkan pelanggaran tersebut kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Malah SPR juga tidak mempunyai kuasa untuk mendenda atau menyiasat mana-mana calon pilihan raya atau parti diwakilinya untuk apa-apa pelanggaran undang-undang pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, pemangku Pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Mohd Saari berkata penelitian badan pemantau pilihan raya itu mendapati Pakatan Harapan paling banyak melakukan kesalahan pilihan raya pada pilihan raya kecil DUN Seri Setia dan DUN Balakong.

Pengundi Seri Setia dan Balakong memilih wakil rakyat mereka pada 8 September lalu selepas 21 hari berkempen.

Bersih 2.0 melaporkan PH melakukan 5 kesalahan manakala Barisan Nasional dan PAS 4 kesalahan. Antara kesalahan yang dilakukan oleh gabungan pemerintah ialah penyalahgunaan aset, sumber, agensi serta program kerajaan untuk meraih undi.

Kesalahan lain termasuk memberi hadiah dan menyediakan makanan percuma untuk mendapatkan undi. Menteri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Mohamad Sabu dan Dr Dzulkefly Ahmad dilapor menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk berkempen di Balakong.

Azhar berkata SPR menubuhkan Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau proses dan aktiviti berkempen sepanjang PRK Balakong, Seri Setia, Sungai Kandis (4 Ogos) dan Port Dickson (13 Oktober).

“Sekiranya PP-KPR mengesan atau menyaksikan apa-apa pelanggaran peruntukan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya secara peribadi atau secara langsung, maka SPR tidak akan teragak-agak membuat laporan mengenai pelanggaran tersebut kepada mana-mana badan penyiasatan,” katanya.

Bagaimanapun, SPR tidak akan melaporkan mana-mana pelanggaran peruntukan perundangan yang tidak disaksikan dan dikesan secara langsung oleh PP-KPR kerana pasukan itu tidak mempunyai pengetahuan peribadi tentang pelanggaran tersebut.