Subsidi RON95 dijangka umum dalam Bajet 2019

Redzuan Md Yusof kerajaan sedang membincangkan peruntukan bagi subsidi RON95 bagi tahun depan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menilai penyelesaian subsidi minyak RON95 yang lebih seimbang bagi tahun depan, apabila ia tidak terlalu membebankan negara dan pada masa sama, masih murah untuk rakyat.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kerajaan sedang membincangkan peruntukan subsidi bagi 2019, termasuk subsidi bahan api yang dijangka diumumkan semasa pembentangan Bajet 2019 pada 2 November nanti.

“Kami masih merangka (Bajet 2019). Kami masih belum menentukan nilainya (untuk subsidi)…mungkin akan ada peningkatan atau pengurangan (dalam subsidi bahan api). Semuanya akan diumumkan di Parlimen (semasa Bajet 2019). Kami sedang membuat penilaian bagaimana kesannya ke atas ekonomi negara.

“Kami juga sedang berusaha menurunkan status Malaysia sebagai negara pengguna. Perbelanjaan pembangunan dijangka meningkat (dalam Bajet 2019) memandang Malaysia sedang bergerak ke arah negara pengeluar,” katanya selepas merasmikan Beautyexpo 2018 hari ini.

Beautyexpo anjuran UBM Asia, menyaksikan penyertaan lebih 380 pempamer tempatan dan antarabangsa yang mewakili pelbagai jenama dalam bidang kecantikan, rambut, kuku, alat solek, pendidikan, bahan semula jadi, kesihatan serta kosmetik halal dari 30 negara, termasuk Jerman, Jepun, Korea Selatan dan Thailand.

Acara 4 hari yang bermula hari ini, dijangka menarik 17,500 pengunjung unik yang mencari penyumberan produk, rangkaian dan menyertai program industri meliputi semua aspek dalam industri kecantikan.

Ekspo ini disokong persatuan kesihatan dan kecantikan terkemuka, seperti Persatuan Ahli Estetik Antarabangsa, Persatuan Spa Malaysia, AllStar Barber Connection dan Persatuan Kerjasama Cosbeauty Korea.

Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Kumpulan UBM Asia (Perniagaan Asean), M Ghando berkata, Asia Tenggara terus kekal pasaran pertumbuhan sektor kecantikan dan kosmetik.

“Menurut Euromonitor, pasaran kosmetik dan produk penjagaan diri di negara-negara Asean akan terus berkembang pada kadar purata 4% setahun sehingga mencecah AS$19 bilion (AS$1 = RM4.14) menjelang 2019.

“Platform ini (Beautyexpo 2018) mempamerkan produk-produk antarabangsa, arah aliran pasaran semasa dan inovasi terkini, termasuk menyediakan pengalaman lancar bagi pembeli perdagangan.”