Cuba gesa Kongres AS tamatkan sekatan ekonomi

Pada 2017 hanya AS dan Israel menentang inisiatif Cuba, sementara 191 negera lain mengutuk dasar Washington terhadap negara itu. (Gambar Reuters)

HAVANA: Dewan Kebangsaan Kuasa Rakyat Cuba (ANPP) mendesak Kongres Amerika Syarikat supaya menamatkan sekatan ekonomi dan kewangan terhadap negara itu, lapor agensi berita Xianhua semalam.

Dalam satu pendengaan awam, badan legislatif tertinggi Cuba mengutuk sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Washington ke atas negara itu sejak hampir 6 dekad lepas.

“Kami meminta Kongres AS mendengar pandangan majoriti dalam pelbagai sektor masyarakatnya yang menyokong penamatan sekatan, sekali gus menghapuskan dasar usang terhadap Cuba ini, ” kata Yolanda Ferrer, presiden suruhanjaya perhubungan antarabangsa ANPP.

ANPP juga meminta negara lain “menguatkan tuntutan antarabangsa” supaya dihapuskan “dasar berbahaya” itu yang melanggar hak rakyat Cuba dan negara lain.

“Kami meminta Ahli Parlimen dari seluruh dunia supaya bersuara, menggalakkan serta menyokong menteri luar masing-masing menyokong resolusi draf Cuba di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi menamatkan sekatan ekonomi, perniagaan dan kewangan AS,” katanya.

Sejak beberapa hari lepas, beberapa pendengaran awam diadakan di serata negara itu oleh pelbagai sektor masyarakat bagi menolak sekatan AS dan mendedahkan kesan buruk yang diakibatkan dasar itu ke atas lingkungan yang berbeza.

Pada 31 Okt depan, untuk kali ke-27, Havana akan membentangkan resolusi tidak mengikat di Perhimpunan Agung PBB bagi mengecam dasar unilateral tersebut. Tahun demi tahun Cuba memperoleh sokongan kuat daripada masyarakat antarabangsa.

Pada 2017, hanya AS dan Israel menentang inisiatif Cuba, sementara 191 negera lain mengutuk dasar Washington terhadap negara itu.

Bagaimanapun AS tidak terikat untuk mematuhi mandat PBB itu dan mendakwa sekatan tersebut merupakan isu 2 hala dengan Cuba yang perlu diselesaikan antara kedua-dua negara.

Dalam laporan tahunannya kepada PBB, Havana membayangkan kerugian ekonomi diakibatkan sekatan ekonomi yang kini diperkuatkan oleh pentadbiran Donald Trump berjumlah lebih AS4.3 bilion antara Apr 2017 hingga Mac 2018.