Hishammuddin nafi Putrajaya minta bantu pulih hubungan Malaysia-Saudi

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyangkal dakwaan laporan portal mengatakan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) meminta bantuannya untuk memulihkan semula hubungan Malaysia dengan Arab Saudi.

“Tiada pun. Laporan itu memang tidak tepat. Setahu saya hubungan perdana menteri dan Putrajaya dengan semua negara-negara Timur Tengah termasuk Arab Saudi adalah baik,” katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp hari ini.

Sebuah portal yang memetik sumber melaporkan, hubungan itu terjejas kerana beberapa tindakan kerajaan PH membatalkan keputusan pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan hubungan Kuala Lumpur dengan Riyadh.

Antara tindakan berkenaan adalah pemberhentian operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) dan pejabat sementara di Jalan Ampang serta-merta.

Fungsi KSCIP itu akan diserap ke dalam Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) bawah Kementerian Pertahanan.

Hishammuddin tidak melihat hubungan Kuala Lumpur-Riyadh mempunyai masalah seperti dilaporkan portal terbabit.

“Saya tengok biasa sahaja. Cuma perlu sedikit masa untuk kerajaan baharu menyesuaikan diri dengan negara-negara berkenaan. Insya Allah ia baik-baik sahaja,” katanya.