Islam tak suruh cari salah orang, Dr M sokong kenyataan Mujahid

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong usaha menghentikan serbuan khalwat selepas seorang menteri hari ini berkata apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu tertutup bukan urusan kerajaan.

Perdana menteri berkata Islam tidak menyuruh umatnya mencari kesalahan orang secara keterlaluan, lebih lagi kesalahan itu dicari sehingga menceroboh rumah.

“Sampai nak panjat masuk dalam rumah orang apa semua itu bukan Islam,” katanya ketika ditemui di Petrosains KLCC hari ini.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dalam wawancara The Star berkata tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Mujahid dilaporkan berusaha untuk meyakinkan pihak berkuasa agama negeri mengunakan pendirian kerajaan persekutuan itu.

Ditanya apakah pendirian menteri hal ehwal Islam itu kaedah “Islam belas kasihan”, Dr Mahathir berkata itu terpulang kepada tafsiran masing-masing.

“Islam bukan agama yang kejam. Ia bukan tentang memenggal kepala dan potong tangan. Ia tidak begitu.

“Terdapat pelbagai cara hukuman yang lebih ringan, tetapi mereka ini mahu menganggu orang, potong tangan orang dan kepala orang. Itu tidak Islamik,”” katanya.