JBPM kaji kelemahan unit penyelamat elak tragedi berulang

Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan berkata pasukan penyelamat yang melakukan tugas praktikal adalah terlatih dan mengetahui apa yang berlaku di tempat kejadian. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan mengenal pasti sekiranya terdapat kelemahan dalam operasi Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bagi mengelakkan tragedi yang meragut nyawa 6 anggotanya di Taman Putra Perdana, Puchong berulang.

Ketua Pengarahnya Mohammad Hamdan Wahid berkata pihaknya akan melihat semua penemuan hasil siasatan berhubung kejadian ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong di kawasan berkenaan untuk diperbaiki.

“Sudah tentu kami akan melihat semua penemuan yang mungkin ada untuk memperbaiki jika ada kelemahan, dan menyediakan pembetulan serta tindakan terbaik untuk menghentikan insiden seperti ini berlaku pada masa akan datang.

“Kami sedih dengan tragedi ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ditanya sama ada pasukan penyelamat mengetahui terdapat tebatan di kawasan kejadian, beliau berkata pasukan penyelamat yang melakukan tugas praktikal adalah terlatih dan mengetahui tentang apa yang berlaku di tempat kejadian.

“Terdapat banyak hipotesis dan anggapan teori. Kami menghargai pendapat mereka, ia tidak salah. Biar kami melakukan siasatan (terperinci),” katanya.

Dalam kejadian pada malam Rabu lepas, 6 penyelam PPDA JBPM maut ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat remaja berumur 17 tahun itu.