Kampung Orang Asli Port Dickson mahu internet laju, akses telekomunikasi

Sebagai kawasan tumpuan pelancong khususnya dari China, Singapura, Jepun, India dan AS, kampung berkenaan memerlukan liputan internet yang baik. (Gambar Malaysia-Traveller)

PORT DICKSON: Liputan internet serta akses telekomunikasi lebih baik merupakan antara permintaan penduduk kampung Orang Asli Bukit Kepong di sini yang berusia 108 tahun memandangkan ia merupakan satu keperluan pada masa kini.

Tok Batin kampung berkenaan Omar Goming, 61, berkata kedudukan kampungnya yang terletak di selatan Port Dickson dan di kelilingi bukit-bukau itu kurang liputan internet dan akses telekomunikasi.

“Ini menyukarkan urusan komunikasi dengan dunia luar khususnya ketika menghadapi kecemasan. Kita mintalah supaya dibina satu pencawang telekomunikasi di sini bagi meningkatkan lagi akses internet dan liputan dan ia merupakan masalah yang sekian lama kita hadapi meskipun telah berkali-kali membangkitkannya.

“Kami berharap kerajaan dapat membina pencawang (telekomunikasi) sebab kampung ini ada masalah akses internet dan komunikasi untuk kemudahan penduduk kampung,” katanya di sini, hari ini.

Kampung Bukit Kepong yang berkeluasan 35.49 hektar merupakan kawasan eko-pelancongan yang menawarkan produk inap desa berkonsepkan chalet dan produk kraftangan untuk masyarakat luar, kini mempunyai lebih daripada 170 orang penduduk.

Sebagai kawasan tumpuan pelancong khususnya dari China, Singapura, Jepun, India dan Amerika Syarikat, kampung berkenaan sepatutnya mempunyai liputan internet yang baik, sekali gus dapat meningkatkan lagi imej produk pelancongan di Negeri Sembilan.

Kampung Bukit Kepong yang dilengkapi dengan sebuah balai raya, balai rawatan, balai adat dan perpustakaan desa, turut mempunyai 31 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibangunkan kerajaan.

Kebanyakan penduduk kampung berkenaan kata Omar menjalankan aktiviti pertanian tanaman kontan dan perladangan selain sebahagian daripadanya bekerja di bidang perhotelan di Port Dickson.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan dan Melaka, Haslin Abdul Razak berkata masalah internet di kampung Bukit Kepong yang pernah dinobatkan naib johan dalam Anugerah Desa Sejahtera 2014 perlu diatasi untuk mempromosikan lagi kampung berkenaan.

“Kampung ini yang dicalonkan sebagai kampung eko-pelancongan tak ada pencawang. Jadi kita harap kampung ini dapat bantuan untuk pembinaan pencawang supaya banyak aktiviti dapat ditingkatkan dalam mempromosikan kampung ini,” katanya.

Negeri Sembilan mempunyai sebanyak 69 buah perkampungan Orang Asli dengan daerah Jempol dan Jelebu merekodkan penduduk Orang Asli terbanyak.

Daerah Port Dickson mempunyai 2 buah perkampungan Orang Asli iaitu di Bukit Kepong dan Sunggala dengan penduduk di kedua-dua kawasan itu berjumlah 265 orang dan daripada jumlah itu, 110 adalah pengundi.

Pilihan raya kecil Port Dickson menyaksikan pertandingan 7 penjuru melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru-baru ini menang jawatan Presiden PKR mewakili Pakatan Harapan, calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan 5 calon bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan serta bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43% pengundi Melayu, Cina (33%), India (22%) dan lain-lain kaum (2%).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Okt ini sebagai hari pengundian dan Selasa depan (9 Okt) sebagai hari pengundian awal.