Kenapa pula PPBM jadi lemah jika Anwar jadi PM, soal Wan Saiful

Wan Saiful berkata PPBM mempunyai sistem nilai yang akan menghalangnya bertukar menjadi ‘Umno 2.0’.

PETALING JAYA: Pakar strategi PPBM Wan Saiful Wan Jan menolak kebimbangan bahawa partinya akan kehilangan kuasa jika Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri kelapan dengan berkata perkara sedemikian tidak berlaku ke atas PKR walaupun pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai negara sekarang.

Malah katanya kepada FMT, PKR terus berkembang.

“Tiada masalah,” katanya. “Ini bukan tentang mengambil kesempatan ke atas pihak lain. Ia adalah mengenai kami bekerja sebaik mungkin untuk menarik rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).”

Dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas, PKR memenangi 47 kerusi, DAP 42, PPBM 13 dan Amanah 11.

Walaupun PPBM kini aktif membuka cawangan parti itu di seluruh negara, Wan Saiful menafikan usaha berkenaan disebabkan oleh persaingan dengan parti komponen PH yang lain, sebaliknya beliau berkata ia bertujuan “memenuhi permintaan rakyat yang mahu menyertai parti tersebut”.

Beliau mengambil contoh DAP, yang kadang-kadang jauh mengatasi parti lain di kawasan tertentu dan ahlinya diminta menyertai parti berkenaan.

“Sama juga dengan Amanah,” katanya. “Bagi saya, ia bukan masalah. Kami semua bekerja atas platform PH.”

Ketika ditanya mengenai temu bual terbaru BBC yang menyaksikan Dr Mahathir berkata bahawa beliau tidak pernah membuat permohonan maaf secara rasmi kepada Anwar, Wan Saiful berkata, hubungan baik PKR dengan PPBM boleh dilihat dalam usaha 2 pemimpin itu mengalahkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu.

Beliau juga mendakwa ada pihak yang mahu melaga-lagakan 2 pemimpin tersebut.

“Propagandis Umno perlu menghentikannya kerana hubungan antara kedua-dua pemimpin itu berkesan.”

Wan Saiful, yang merupakan pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) juga mempersoalkan integriti ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam yang kekal bersama Umno walaupun mengetahui ia mengadapi banyak masalah.

“Ramai orang meninggalkan Umno kerana mereka hilang kepercayaan kepada parti itu,” katanya, sekali gus mencabar dakwaan Lokman bahawa pemimpin veteran Umno Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar parti kerana diugut oleh Tun Daim Zainudin, yang dilihat banyak pihak sebagai orang kanan Dr Mahathir.

“Perbuatannya (Lokman) mempersoal integriti pemimpin seperti Tok Pa (Mustapa) yang saya kenal secara peribadi, bagi saya, sudah melampau,” katanya.

“Saya fikir soalan sebenar ialah kenapa beliau masih berada di situ (dalam Umno).”

Wan Saiful berkata, PPBM akan terus berhubung dengan semua pihak, tetapi prinsipnya jelas. Kami mengalu-alukan mereka yang berintegriti yang mahu berjuang menyelamatkan negara.

“Tetapi jika ia bertujuan menyelamatkan diri sendiri, mereka boleh lupakan untuk sertai kami.”

Beliau juga menolak kebimbangan bahawa PPBM lambat laun akan menjadi “Umno 2.0”, dengan berkata walaupun ia merupakan parti orang Melayu seperti Umno, namun PPBM memperjuangkan kerja keras, integriti dan perasaan malu untuk melakukan perkara salah.

“Umno tidak bercakap tentang perkara ini. Umno hanya berkata ‘Bangkit Melayu’. Atau orang Cina mahu ambil alih (ekonomi). Ia hanya bercakap tentang sentimen kaum.

“Umno terus menyuarakan perkara ini untuk memecahbelahkan negara. Kami datang dengan seruan perpaduan untuk semua.”

Di peringkat akar umbi katanya, ahli juga tidak mahu PPBM bertukar menjadi seperti Umno.

“Bagi mengatasi kebimbangan ini, kami mempunyai satu sistem nilai yang mesti diikuti oleh semua.”