Kenyataan Mujahid boleh sebabkan banyak kejadian maksiat, kata Mufti Pahang

Abdul Rahman berkata penguat kuasa agama tidak pernah pergi ke rumah orang secara ‘saja-saja’. (Gambar youtube)

PETALING JAYA: Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa tentang ketiadaan lagi “ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan” oleh pegawai penguat kuasa agama jika menerima laporan khalwat akan menyebabkan berlakunya lebih banyak kejadian khalwat di negara ini.

Beliau berkata, kenyataan menteri itu akan membuka pintu kepada orang ramai untuk melakukan maksiat.

“Ini kerana tidak ada orang yang boleh mencegahnya. Saya nampak (kenyataan) beliau bercanggah dengan hadis Rasulullah.

“Rasulullah menyebut, sesiapa yang melihat perkara mungkar hendaklah dia mengubah dengan tangannya, kalau tak boleh dengan lisan, dan dengan lidahnya, kalau tak boleh dengan hatinya,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mujahid seperti dilaporkan media bahawa pihak berkuasa tidak lagi akan mengetuk pintu pada tengah malam atau memecahkannya walaupun selepas mendapat laporan mengenai khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Mujahid berkata, apa-apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup bukan urusan kerajaan.

Abdul Rahman berkata penguat kuasa agama tidak pernah pergi ke rumah orang secara “saja-saja” bagi menyiasat apa yang dilakukan.

“Selama ini penguatkuasa tak pernah pergi ‘saja-saja’ ke rumah orang, nak siasat orang itu buat jahat ke tidak, tak ada. Dia (penguatkuasa) hanya (pergi) bila menerima aduan daripada orang ramai.

“Kalau dah ada orang buat maksiat dalam satu kampung, siapa yang nak cegah? Misalnya orang minum arak (atau) dia nampak orang berkhalwat di satu tempat…orang kampung tak boleh cegah sebab ia menjadi kesalahan?” soalnya.

Beliau berkata, pihak yang boleh dan diberi kuasa untuk mencegah perbuatan yang bersalahan dengan undang-undang adalah penguatkuasa agama negeri.

“Kalau tak ada aduan, penguat kuasa tak pergi. Selama ini rumah kita tak pernah penguatkuasa datang. Tak pernah, dari segi syarak pun tak boleh,” katanya.

Abdul Rahman juga berkata arahan yang dikeluarkan oleh Mujahid kepada penguat kuasa negeri berkenaan kesalahan khalwat itu juga tidak tepat.

“Beliau tidak boleh mengarahkan penguat kuasa agama mana-mana di negeri sebab itu bukan bidang kuasanya,” katanya.

Katanya, Mujahid seharusnya faham bidang penguatkuasaan agama adalah kuasa negeri dan beliau tidak mempunyai kuasa ke atasnya.