Kes nafkah ibu cuba melacur: Mentaliti perlu ditukar, bantuan perbanyak

Pengarah IRF Dr Farouk Musa menggesa mahkamah syariah diperkasa untuk memastikan hak golongan lemah dan wanita dilindungi.

PETALING JAYA: Seorang pengkaji menyeru mentaliti ditukar manakala pengamal undang-undang menggesa kerajaan perbanyakan dana bantuan guaman, ekoran kes seorang wanita cuba melacur bagi menyara kehidupan dan anak di Terengganu baru-baru ini.

Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Farouk Musa berkata mahkamah dilihat meninggalkan kewajipan memberikan keadilan, sementara Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata usaha membantu ibu-ibu tertangguh kerana kekurangan dana.

“Mahkamah sepatutnya melakukan sebaik mungkin dan memanggil bapa. Bapa perlu dihukum kerana mengabaikan kewajipan menyediakan nafkah kepada ibu dan anak. Tetapi daripada menghukum bapa, mahkamah melakukan sebaliknya,” kata Farouk kepada FMT.

Beliau mengingatkan kes tersebut melibatkan seorang ibu yang diabaikan oleh bapa dan perlu menjaga anak mereka, tetapi mahkamah dilihat hanya mahu menghukum.

“Adakah ini jenis Islam yang kita mahu tunjukkan kepada dunia?” kata Farouk. “Tunjukkan keindahan Islam yang melindungi hak golongan yang lemah dan wanita, bukan wajah ‘misogynist’ (pembenci perempuan)”.

“Jika kita bercakap tentang memperkasakan mahkamah syariah, inilah jenis pemerkasaan yang kita mahu lihat. Untuk memastikan hak golongan lemah, wanita dan anak-anak, dilindungi. Untuk memudahkan proses ‘fasakh’ dan memastikan tiada wanita diceraikan tanpa proses sewajarnya.”

Tukar kaedah

Bercakap mengenai proses, Musa Awang menggesa kaedah perintah nafkah anak ditukar kerana pada masa ini perintah nafkah anak tidak dikeluarkan sekali semasa kes perceraian atau pengesahan cerai dan perlu difailkan berasingan.

Ini bagi memudahkan urusan pasangan terlibat kerana mahkamah tidak dapat mengenakan tindakan undang-undang sekiranya tiada permohonan dibuat.

“Mahkamah perlu mengubah kaedah ini supaya nafkah anak diperintahkan terus kepada bapa semasa dalam kes tuntutan cerai atau pengesahan lafaz cerai, dalam jumlah tertentu yang dipersetujui mengikut kemampuan,” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu, Musa menggesa kerajaan memperbanyakkan dana untuk membantu badan-badan bukan kerajaan memberi bantuan guaman kepada ibu-ibu yang hendak membuat tuntutan.

“Sebagai contoh PGSM telah menubuhkan Pusat Bantuan Guaman Syariah (BAGUS) tetapi pusat ini tertangguh kerana kekurangan dana sama ada daripada pihak kerajaan atau swasta,” katanya.

Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara 6 bulan dan 6 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 27 September selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba melacurkan diri.

Ibu kepada seorang anak perempuan berusia 7 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu kerana perbuatan persediaan untuk melacurkan diri.

Wanita itu mengakui terpaksa melakukan perbuatan itu kerana memerlukan wang untuk menyara kehidupan dan anaknya.