Khairy: ‘Go ahead’ jika menteri mahu SPRM siasat Akademi Mokhtar Dahari

Khairy berkata masalah yang dibangkitkan Syed Saqqiq itu diketahuinya sebelum ini ketika menjadi menteri belia dan sukan.

AMPANG: Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak mempunyai masalah jika Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman mahu memanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan ketirisan dalam pembinaan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).

Katanya beliau bersikap terbuka mengenai perkara itu dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk disiasat.

“Saya fikir ‘go ahead’ (teruskan), saya terbuka dalam hal ini. Saya tidak ada apa-apa dalam hal ini. Saya cuma bertanggungjawab untuk dapatkan peruntukan dan memastikan projek ini diteruskan.

“Sekiranya berlaku kepincangan atau syaki berlaku apa-apa ketirisan boleh dilaporkan kepada sesiapa pun. Saya tak ada masalah,” katanya kepada media ketika ditemui pada majlis pembukaan gimnasium kanak-kanak ‘We Rock The Spectrum’ di We Rock The Spectrum di sini hari ini.

Pada 4 Okt lalu, Syed Saddiq tidak menolak kemungkinan melibatkan SPRM berhubung pembinaan AMD yang melibatkan kos sebanyak RM85 juta.

Saddiq berkata, kos pembinaan akademi berkenaan besar, namun jumlah wang yang dibelanjakan tidak setanding dengan kualiti dan fasiliti yang diikmati peserta akademi itu.

Akademi berkenaan dibina pada 2016 di Gambang, Pahang dengan peruntukan sebanyak RM85 juta dengan matlamat membawa dimensi baru dalam bola sepak negara dengan latihan berprestasi tinggi dan pendedahan bakat di peringkat antarabangsa.

AMD juga dilihat sebagai pusat untuk pemain muda terbaik dari seluruh negara menimba ilmu dan kemahiran dalam sukan bola sepak.

Saddiq berkata, beliau dimaklumkan sudah ratusan kerosakan yang berlaku di akademi berkenaan, bahkan sehingga ke hari ini pusat berkenaan tidak mempunyai pakar nutrisi.

Dalam pada itu, Khairy mempersoalkan kenapa kontraktor terbabit dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi yang bertanggungjawab ke atas pembinaan AMD tidak memaklumkan masalah yang ada kepada Syed Saddiq.

Beliau berkata masalah yang dibangkitkan menteri itu diketahuinya sebelum ini ketika menjadi menteri belia dan sukan.

“Saya pertikaikan kenapa dalam tempoh masa 3 bulan perkara ini tidak dibawa perhatian kepada menteri.

“Banyak perkara yang saya lihat sendiri bila buat lawatan ke AMK dan saya sudah minta JKR dan kontraktor memperbaiki perkara seperti padang dan sebagainya.

“Nampaknya, seperti dilaporkan Khamis lalu, ada perkara yang tidak dapat diselesaikan. Tetapi kenapa tak disampaikan lebih awal sehingga terpaksa menunggu menteri buat lawatan baru diberitahu,” katanya.

Gaji Teong Kim berpatutan dengan pengalaman

Ahli Parlimen Rembau itu juga berpandangan gaji yang diterima pengarah AMD, Lim Teong Kim adalah bersesuaian dengan pengalamannya.

Beliau berkata gaji Teong Kim adalah berdasarkan rundingan yang dibuat pada 2014 ketika beliau masih menjadi jurulatih akademi bola sepak di Bayern Munich.

“Bagi saya kalau kita mahukan seseorang yang berpengalaman seperti beliau di Eropah, maka itulah paras gajinya.

“Saya serahkan pada kementerian sekarang untuk buat rudingan semula. Saya tak pasti kalau tawar gaji lebih rendah dia (Teong Kim) mahu atau tidak sebab dia ada banyak peluang di luar negara,” katanya.

Saddiq sebelum ini dikecam kerana mendedahkan gaji Teong Kim sambil meminta jurulatih itu bertanggungjawab ke atas kegagalan pasukan negara dalam kempen Piala AFC B-16.

Ia susulan pasukan pimpinan Teong Kim gagal melepasi sasaran yang ditetapkan, sebaliknya hanya berjaya di peringkat kumpulan sekali gus tidak layak ke suku akhir Kejohanan AFC bawah 16 tahun.

Saddiq tetap dengan pendirian untuk menilai semula pakej gaji RM175,000 yang diterima Teong Kim di bawah program NFDP.

Teong Kim dilantik sebagai pengarah NFDP pada 2013, sebelum turut dilantik sebagai pengarah Akademi Mokhtar Dahari pada 2016.

NFDP yang dilancarkan pada 10 April 2014 adalah hasil cetusan idea bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin yang mahu melahirkan ramai pemain bola sepak bertaraf dunia secara konsisten.