Malaysia antara 11 negara sertai misi bantuan ke Sulawesi

Tragedi gempa dan tsunami di Palu dan Donggala pada 28 Sept lepas mengorbankan kira-kira 1,558 mangsa dan memusnahkan 65,735 kediaman. (Gambar Bernama)

BALIKPAPAN: Sebelas negara sehingga kini telah menyertai misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa dan tsunami di Palu dan Donggala, kata Panglima Koopsau (Komander Operasi Angkatan Udara) 1 Marsekal Muda Tentera Nasional Indonesia (TNI) Nanang Santoso.

Beliau berkata 11 negara terbabit iaitu Malaysia, Jepun, New Zealand, United Kingdom, India, Qatar, Australia, Singapura, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Perancis menghantar 18 pesawat pengangkut tentera untuk membawa bekalan bantuan ke Palu.

“Terima kasih kepada negara sahabat termasuk Malaysia yang simpati dengan mangsa bencana di Sulawesi,” kata beliau.

“Terima kasih juga kepada Malaysia yang turut menghantar pesawat A400M untuk misi bantuan ini,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, pihak berkuasa Indonesia masih berusaha untuk memastikan Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri di Palu selamat untuk pendaratan pesawat pengangkut lebih besar.

“Setakat ini, hanya pesawat seperti C130H yang boleh mendarat di Palu (Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri) kerana masih ada bahagian landasan yang tidak stabil dan rosak,” katanya.

Menurut beliau, pasukan pemantau dihantar ke Palu untuk membuat pemeriksaan sama ada landasan di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri selamat untuk pendaratan pesawat lebih besar.

Tragedi gempa dan tsunami di Palu dan Donggala pada 28 Sept lalu telah mengorbankan kira-kira 1,558 mangsa dan memusnahkan 65,735 kediaman.

Dalam pada itu, pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerbangkan kira-kira 15 tan makanan dan keperluan harian ke Balikpapan, Kalimantan untuk mangsa bencana di Palu dan Donggala di Sulawesi hari ini.

Malaysia turut menghantar pesawat C130H ke Palu hari ini.