Malaysia digesa segera ratifikasi CPTPP atau diatasi Vietnam

Malaysia mempunyai banyak kelebihan seperti kemudahan infrastruktur dan pelabuhan, tenaga kerja lebih terlatih dan pengalaman lebih mendalam dalam elektronik, kejuruteraan dan industri automotif. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan perdagangan memberi ingatan Malaysia akan menjadi kurang menarik berbanding Vietnam dalam kalangan pelabur asing sekiranya Putrajaya tidak meratifikasi segera Perjanjian Komprehesif dan Progresif Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Pengarah eksekutif Pusat Dagangan Asia (ATC) Deborah Elms berkata Malaysia perlu bertindak segera kerana banyak syarikat telah mula keluar dari China.

“Syarikat perniagaan kini sedang berfikir di mana mereka mahu menempatkan kilang mereka untuk tempoh satu atau 2 dekad akan datang,” katanya.

Elms yang bercakap kepada FMT pada satu seminar ekonomi di sini melihat Vietnam sebagai pesaing terdekat negara dalam kalangan negara anggota CPTPP, dengan Singapura dan Jepun bukan pesaing dalam sektor pembuatan, sementara China pula terlalu jauh dari rantau ini.

“Jika Malaysia keluar daripada CPTPP, pelaburan yang menghala ke Malaysia atau yang mungkin terbahagi antara Vietnam dan negara ini, akan masuk ke Vietnam. Bila kilang masuk ke negara itu, ia akan kekal di situ.”

Beliau berkata, Malaysia mempunyai banyak kelebihan berbanding Vietnam, seperti kemudahan infrastruktur dan pelabuhan, tenaga kerja lebih terlatih dan pengalaman lebih mendalam dalam elektronik, kejuruteraan dan industri automotif, selain penguasaan bahasa Inggeris yang lebih meluas.

Bagaimanapun katanya, CPTPP akan mengubah dinamika itu kerana faedah tarif yang besar kepada negara anggota.

“Di sesetengah negara, tarif untuk syampu misalnya akan jatuh 10% dengan serta-merta. Bagi pakaian kapas ia jatuh 20%. Ini membuka pintu kepada pengeluar Malaysia memasuki pasaran berkenaan.

“Ia juga terpakai ke atas pengeksport. Pengeluar Malaysia akan dapat mengeksport makanan ke Jepun, yang akan membuka pasaran makanannya buat kali pertama.

Baru-baru ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya masih menimbangkan buruk-baik langkah meratifikasi CPTPP.

Pakar ekonomi Dr KS Jomo, serta Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) seperti Nurul Izzah Anwar, Wong Chen dan Charles Santiago dilaporkan tidak bersetuju dengan langkah ratifikasi.

Jomo, bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan berkata, manfaat perdagangan yang bakal diperolehi Malaysia tidak banyak.

Katanya, peruntukan perjanjian berkait pengukuhan hak harta intelektual dan penyelesaian pertikaian pelabur-kerajaan (ISDS) akan membelenggu masa depan ekonomi negara.

Nurul, Wong dan Santiago berkata, ISDS akan membolehkan pelabur asing melangkahi undang-undang negara dan mencabar kerajaan di tribunal arbitrasi bagi menuntut pampasan tinggi.