Pemilihan: 20,000 anggota PKR Pahang mengundi hari ini

Keputusan dijangka dikeluarkan secara rasmi dalam tempoh selewat-lewatnya 2 jam selepas tamat tempoh mengundi.

KUANTAN: Seramai 20,000 anggota PKR Pahang yang disahkan layak mengundi bagi memilih kepimpinan peringkat pusat dan cabang akan melaksanakan tanggungjawab mereka hari ini.

Ketua Koordinator Negeri R Nadarajan berkata pemilihan melibatkan 14 cabang iaitu Kuantan, Indera Mahkota, Paya Besar, Pekan, Rompin, Lipis, Raub, Jerantut, Temerloh, Bera, Bentong, Kuala Krau, Maran dan Cameron Highlands.

Kuantan, Indera Mahkota, Pekan, Cameron Highlands dan Kuala Krau menyaksikan calon ketua cabang menang tanpa bertanding.

“Pemilihan akan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 5 petang menggunakan sistem undian digital, e-voting.

“Kita menjangka keputusan dapat dikeluarkan secara rasmi dalam tempoh selewat-lewatnya 2 jam selepas tamat tempoh mengundi,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Nadarajan menambah antara ‘kawasan panas’ pada pemilihan kali ini ialah Paya Besar, Temerloh dan Jerantut ekoran jumlah pengundi yang ramai.

Bera juga dilihat sebagai kawasan panas memandangkan salah seorang calon ketua cabangnya terpalit dengan dakwaan salah guna kuasa sebagai setiausaha politik kepada menteri, baru-baru ini.

“Untuk mengelakkan kejadian tidak diingini khususnya bagi menjamin keselamatan pengundi, kita telah meminta bantuan polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk ditempatkan di lokasi pemilihan,” katanya.

Nadarajan menambah calon yang bertanding juga menyatakan komitmen untuk menunjukkan amalan politik matang, disiplin tinggi dan bertanding secara sihat demi kesejahteraan parti.