Pemilihan PKR: Rafizi dahului Azmin di Kelantan, Terengganu

Azmin mendahului pemilihan di Pulau Pinang dan Johor.

KOTA BHARU: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli mendahului pencabarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam persaingan merebut jawatan timbalan presiden sempena pemilihan parti itu bagi negeri Kelantan dan Terengganu yang berlangsung semalam.

Di Kelantan, menurut laman sesawang Pemilihan Keadilan 2018 di www.pemilihankeadilan2018.com, Rafizi menang dengan 289 undi selepas memperoleh 5,211 undi berbanding Azmin yang menerima 4,922 undi.

Rafizi mendapat sokongan 8 daripada 14 cabang membabitkan Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Bachok, Machang, Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi pula mendapat sokongan 6 cabang masing-masing di Ketereh, Tanah Merah, Jeli, Tumpat, Kubang Kerian dan Rantau Panjang.

Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa berkata, keputusan undian dipaparkan di laman sesawang berkenaan berkemungkinan berubah memandangkan terdapat lebih 400 undi meragukan yang hanya akan disahkan dalam tempoh seminggu.

“Keputusan yang dipaparkan di laman sesawang berkenaan adalah sah tetapi masih belum rasmi. Keputusan muktamad hanya selepas undi ragu itu diproses,” katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.

Sementara itu di Terengganu, Rafizi turut mendahului Azmin dalam pertandingan melibatkan 8 cabang parti di negeri itu iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Dungun, Marang dan Kemaman.

Rafizi memperoleh 1,506 undi manakala Azmin mendapat 1,269 undi.

Sebelum ini Azmin mendahului pemilihan di Pulau Pinang dan Johor.