Pemilik nama terlalu panjang terdedah dibuli, kata pakar psikologi

Hilwa berkata, mengikut kajian memang terdapat implikasi negatif nama terlalu panjang ke atas kanak-kanak pemilik nama itu. (Gambar Fail)

PETALING JAYA: Ibu bapa perlu “berfikir sejenak” dan menimbangkan implikasi jika mahu meletakkan nama yang panjang untuk anak mereka.

Pensyarah psikologi UKM, Prof Hilwa Abdullah berkata anak-anak yang mempunyai nama terlalu panjang terdedah kepada fenomena buli oleh rakan dan orang sekeliling.

“Nama yang panjang sebenarnya memberi ruang kepada orang di sekeliling kanak-kanak tersebut membuli, mengejek atau meminggirkan mereka,” katanya kepada FMT.

“Malah kalau dilihat kepada kajian, memang ada implikasi negatif terhadap anak-anak yang mempunyai nama panjang.

“Sebagai anak dia juga akan terfikir kenapa ibu bapanya memberi nama panjang kepadanya,” kata beliau.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) baru-baru ini mendedahkan “Princess Aura Nurr Ermily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra Binti Mohd Sufian” merupakan nama terpanjang yang berdaftar dengan jabatan itu pada ketika ini.

Nama dengan 64 aksara itu sememangnya panjang jika dibandingkan dengan nama-nama lain.

Hilwa berkata, ibu bapa yang memilih untuk meletakkan nama sedemikian mungkin kerana mahu mengecapi nama impian tertentu mereka.

Malah katanya, pengaruh drama dan minat terhadap seseorang individu juga boleh menjadi pendorong kepada pemilihan nama tersebut.

“Mungkin banyak sangat nama impian jadi ibu bapa, jadi tidak tahu mahu meletakkan nama apa.

“Ayah mahukan nama ini, emak mahukan nama ini, lepas itu gabung pula dengan nama karakter dalam drama jadi akan jadi panjanglah.

Untuk rekod pada 2014, nama terpanjang yang pernah didaftarkan di Malaysia ialah Nur Fathaniah Tariyah Karimah Farwizah Zahabiyah Syahirah Airol Anizam.

Hilwa menyambut baik langkah kerajaan mengehadkan nama anak supaya tidak melebihi 80 aksara, namun secara berseloroh menganggap bilangan tersebut masih panjang.

JPN dilaporkan tidak menggalakkan ibu bapa mendaftarkan anak mereka dengan nama terlalu panjang selain memberikan nama yang membawa maksud tidak baik.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Jasri Kasim berkata, pihaknya telah menetapkan nama yang ingin didaftarkan untuk anak-anak tidak melebihi 80 aksara atau huruf.

Hilwa dalam pada itu berkata ibu bapa terutamanya yang beragama Islam perlu menilai semula perkara itu dari perspektif Islam.

Katanya, adalah lebih baik jika nama yang diberikan itu ringkas, mudah disebut dan bermakna baik kepada anak yang baru dilahirkan.

“Pilih yang bermakna. Bila panggil nama yang bermakna, itu juga akan mengukuhkan karakter anak itu,” katanya lagi.