Rafizi isytihar menang di Pahang, bersaing sengit dengan Azmin

PETALING JAYA: Rafizi Ramli hari ini mengisytiharkan beliau menang pemilihan parti itu di Pahang selepas 14 bahagian memilih kepimpinan PKR, termasuk jawatan nombor 2 parti yang menjadi rebutan antara beliau dan penyandang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bekas ahli Parlimen Pandan itu yang menjenamakan dirinya sebagai sekutu Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dia memperoleh kemenangan di 8 bahagian dengan 2,383 undi, iaitu lebih 85 undi berbanding 2,298 undi yang diperoleh Azmin.

Beliau bagaimanapun akui angka tersebut tidak mengambil kira undian yang dipertikaikan dalam proses e-undi itu, yang dilaksanakan secara berperingkat melibatkan 75 bahagian seluruh negara sehingga bulan depan.

Pahang merupakan negeri ke-5 yang memilih, diikuti Kuala Lumpur dan Labuan esok.

Semalam, dilaporkan Rafizi mendapat lebih banyak undi berbanding Azmin di Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Rashid Din berkata keputusan pemilihan itu masih lagi tidak muktamad.

“Keputusan rasmi akan diumumkan di kongres PKR bulan hadapan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Rafizi turut berharap ahli PKR di Kuala Lumpur dan Labuan yang akan mengundi esok membantu beliau merapatkan jurang dengan Azmin, kerana dia ketinggalan cuma 92 undi dalam jumlah undi seluruh negara.

“Sebagai seorang ‘underdog’ yang pernah digelar penganggur, saya yakin ahli parti tidak menilai seseorang berdasarkan pangkat dan kedudukan, sebaliknya komitmen kepada idealisme perjuangan dan reformasi,” katanya, merujuk kepada kenyataan Azmin yang mendesak ahli parti memilih mereka yang mempunyai kuasa dan bukannya “penganggur”.

Selepas kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei, Azmin dilantik menteri hal ehwal ekonomi dan diberi kedudukan di syarikat pelaburan negara, Khazanah Nasional.

Rafizi tidak bertanding pada pilihan raya umum lalu selepas dijatuhi hukuman penjara kerana melanggar undang-undang perbankan menerusi pendedahannya mengenai skandal Perbadanan Fidlot Nasional.