Saiful tak perlu manifesto, tak mahu tabur janji

Saiful mengagihkan beg plastik mesra alam kepada para pelancong yang sedang bersantai di pantai Port Dickson.

PORT DICKSON: Memasuki hari kempen ke-8 pilihan raya kecil Port Dickson, calon bebas Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat keputusan untuk tidak menyediakan manifesto.

Ini kerana beliau tidak mahu dilihat sebagai seseorang yang menabur janji untuk meraih undi.

“Saya tak mahu tabur janji, jadi tak perlu manifesto. Apa yang saya mahu lakukan untuk Port Dickson akan segera dilaksanakan selepas ucap,” katanya ketika ditanya pemberita tentang rancangannya untuk Port Dickson sekiranya dia terpilih.

“Seperti aktiviti hari ini, ini contoh apa yang saya mahu dan kami segera laksana,” katanya merujuk kepada aktiviti pembersihan pantai anjurannya.

Pembersihan pantai itu bermula hari ini di mana Saiful berjalan sepanjang Pantai Telok Kemang dan mengedarkan beg plastik kepada pelancong yang sedang bersantai.

“Beg pastik ini bukan sebarangan tapi jenis biodegradasi,” kata Saiful kepada pemberita pada satu sidang media.

Program ini bertujuan mendidik orang ramai tentang kepentingan ekosistem dan hidupan laut, tambahnya.

“Sistem pengurusan sisa yang menyumbang kepada pencemaran pantai Port Dickson perlu dirombak,” katanya.

Selain mengedar beg plastik, Saiful akan bekerjasama dengan NGO untuk menbuat karang buatan di perairan Port Dickson.

Struktur itu kebiasaannya digunakan untuk mengalakkan hidupan marin di kawasan-kawasan tanpa ciri-ciri itu.

“Melalui usaha seperti ini, saya berdedikasi untuk kembalikan zaman kegemilangan pantai Port Dickson.

“Usaha ini akan perbaiki mutu air dan dalam masa yang sama, ekosistem.

“Karang buatan ini dibekalkan sebuah NGO secara percuma. Kami hanya perlu tanggung logistik untuk menghantarnya ke sini,” katanya.

Saiful calon kedua yang mengumumkan pembersihan pantai selepas bekas majikannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, Anwar mengumumkan dia akan menetapkan satu tarikh dan mengundang semua warga Port Dickson untuk mengutip sampah di pantai.

Beliau berkata setiap orang hanya perlu kutip 1 sampah sebagai permulaan kepada usaha pembersihan pantai itu.

Sementara itu, Saiful berkata usaha biaya ramai yang dilancarkan 5 hari lalu berjaya mengutip sumbangan RM2,500.

Dana itu akan disalurkan ke jentera kempen Saiful.