Tokoh tilawah Hassan Azhari meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Tokoh agama Tan Sri Hassan Azhari, 91, meninggal dunia akibat kanser limfoma kira-kira 5.00 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur.

Anaknya, Tan Sri Musa Hassan ketika dihubungi Bernama berkata bapanya menerima rawatan di hospital berkenaan sejak 2 minggu lepas.

“Kami sedang menguruskan jenazah dan masih di hospital. Lokasi pengebumian belum diputuskan lagi,” katanya.

Hassan merupakan seorang tokoh yang terkenal dalam bidang tilawah Al-Quran di negara ini, dan sering menganggotai panel hakim musabaqah al-quran peringkat antarbangsa.

Beliau merupakan individu yang melaungkan azan semasa kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Beliau juga pernah menjadi pengajar di rancangan Muqaddam selama 8 tahun di saluran televisyen RTM pada 1970-an.