Boleh jadi PM walaupun dalam penjara, kata bekas ketua hakim

PETALING JAYA: Seorang bekas ketua hakim negara hari ini berkata pemberian ampun, tunda hukum dan lega hukum tidak bermakna pensabitan dan hukuman dipadamkan daripada rekod mahkamah.

Tun Abdul Hamid Mohamad berkata asalkan kehilangan kelayakan seseorang itu dibatalkan, maka orang itu boleh bertanding dan menjadi seorang ahli Parlimen walaupun dia terus menjalani hukuman penjara.

“Malah, dia boleh menjadi perdana menteri jika partinya menang majoriti!” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas merujuk kepada Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan kehilangan kelayakan itu boleh dibatalkan oleh Agong.

“Maka, seorang yang kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen di bawah Perkara 48(1)(e) yang tidak mendapat pengampunan bebas, boleh memohon untuk diberi pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48(3),” katanya.

Beliau juga berkata Agong tidak perlu membatalkan kehilangan kelayakan atas nasihat Lembaga Pengampunan kerana lembaga tersebut ditubuhkan untuk tujuan pengampunan sahaja.

“Sama ada Agong perlu melakukannya atas nasihat perdana menteri adalah satu perkara lain,” katanya.

Hamid dalam penjelasannya berkata berbagai jenis pengampunan boleh diberi bawah Perkara 42 Perlembagaan tetapi perkara tersebut tidak mengaitkan pengampunan dengan kelayakan seseorang.

Soal kelayakan disebut dalam Perkara 48, yang menyatakan seseorang itu hilang kelayakan jika “tidak mendapat pengampunan bebas”.

“Jika dia mendapat pengampunan bebas, dia tidak hilang kelayakan itu. Jika dia tidak mendapat pengampunan bebas, kehilangan kelayakan itu boleh dibatalkan oleh Agong,” kata bekas ketua hakim negara itu.

Beliau seterusnya berkata hanya mahkamah boleh mentafsirkan sama ada “pengampunan bebas” (free pardon) dalam Perkara 48 itu sama dengan “pengampunan” (pardon) yang disebut dalam Perkara 42.

“Apakah ertinya ‘pengampunan bebas’? Ini tidak ditafsirkan. Bolehkah ia disamakan dengan ‘pengampunan penuh’? Ini adalah tugas mahkamah untuk mentafsirkannya,” kata Hamid.