Dr M tolak hasrat Hadi berkongsi pentas

Dr Mahathir ketika berucap di majlis makan malam Persatuan PBB Malaysia ke-30.

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak hasrat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu berkongsi pentas dengannya.

Perdana menteri tidak dapat melayan permintaan presiden PAS ketika ini kerana dia mahu berkempen untuk calonnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tak payahlah. Malam esok saya ke Port Dickson tapi bukan nak berforum dengan dia. Saya nak pergi berkempen untuk Anwar,” katanya kepada pemberita di majlis makan malam Persatuan PBB Malaysia malam tadi.

Dr Mahathir bagaimanapun sedia mempertimbangkan hasrat Hadi pada waktu lain.

Terdahulu, media melaporkan Hadi berhasrat untuk berkongsi pentas dalam satu forum bersama Dr Mahathir, ketika Pakatan Harapan sedang menghadapi PAS dan beberapa calon bebas pada pilihan raya Parlimen Port Dickson.

Presiden PAs itu juga dilaporkan berkata terpulang kepada Dr Mahathir untuk berasa tergugat atau tidak dengan kehadirannya di Port Dickson.

Dr Mahathir dijadualkan ke Port Dickson malam esok untuk berganding dengan Anwar ketika tempoh berkempen berbaki 5 hari lagi menuju hari pengundian.