Hanya RM2 juta dipungut, Khalid kecewa diskaun kompaun DBKL tidak berjaya

Khalid (tengah) berkata, sejumlah 4.5 juta notis kompaun dikeluarkan DBKL melibatkan nilai hampir RM1 bilion gagal dibayar.

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah, Khalid Samad kecewa apabila inisiatif memberi tawaran bayaran dengan kadar istimewa untuk kompaun tertunggak saman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak berjaya mencapai sasaran.

“Saya agak dukacita kerana tawaran kita untuk bayaran saman itu tak begitu berjaya.

“Walaupun dapat dalam RM2 juta tetapi sasaran kita adalah RM100 juta. Sebab jumlah sebenar tunggakan bayaran saman DBKL hampir RM1 bilion,” katanya selepas menghadiri program “KL Car Free Morning” di premis DBKL hari ini.

Pada 3 Sept lalu, Khalid berkata sejumlah 4.5 juta notis kompaun dikeluarkan DBKL melibatkan nilai hampir RM1bilion gagal dilunaskan.

Oleh sebab itu katanya, DBKL mengambil inisiatif memberi kadar istimewa untuk bayaran kompaun tertunggak bagi menggalakkan pembayaran dan mengelak daripada dikenakan tindakan lebih serius.

“Mana-mana kompaun lama sebelum 1 Sept perlu dijelaskan sehingga 30 Sept bagi mendapatkan kadar khas yang ditetapkan iaitu RM20 untuk motosikal, RM30 untuk kereta dan RM50 untuk kenderaan berat.

“Dengan kadar khas itu, DBKL berharap dapat mengutip kira-kira RM100 juta daripada nilai tunggakan asal sebanyak RM924 juta,” katanya menurut laporan media sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata pihaknya akan mengumumkan perkembangan kes 23 transaksi tanah DBKL yang ditangguhkan dan masih dalam rundingan esok pada satu sidang media khas.

Khalid berkata dalam sidang media itu beliau akan mengumumkan jumlah bayaran balik yang akan diperolehi DBKL.

“Sementara dalam kes 10 transaksi yang dibatalkan kita ambil balik tanah dan membuat bayaran balik berjumlah hampir RM120 juta.

Sebelum ini Jawatankuasa Khas Kementerian Wilayah mengesyorkan supaya 43 daripada 97 transaksi tanah terbabit diteruskan oleh DBKL.

Khalid berkata sebanyak 10 transaksi telah dibatalkan, sementara 23 ditangguhkan dan masih dalam rundingan dan satu transaksi dibawa ke mahkamah.

Katanya sebanyak 20 lagi transaksi tanah yang selesai dipindah milik kepada syarikat disyorkan untuk siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).