Kamu tiada sebab tak wujudkan siasatan khas, Najib cabar PH

Najib berkata semua kertas siatan dan kuasa agensi siasatan ada pada tangan PH.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini menepis dakwaan Lim Kit Siang yang mengatakan beberapa kes berprofil tinggi, termasuk 2 pembunuhan, tidak disiasat.

Bekas perdana menteri berkata kes Teoh Beng Hock, pembantu kepada wakil rakyat DAP, dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, serta disiasat Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Begitu juga dengan kes wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, dan pengasas AmBank, Hussain Najadi, yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, serta kes Kevin Morais yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi sejak April 2017.

“Siapa kata tidak pernah disiasat?” katanya di Facebook.

Awal hari ini, Lim dalam kenyataan berkata keadilan dipersendakan semasa pentadbiran Najib kerana kes-kes berprofil tinggi tidak disiasat.

Pemimpin DAP itu tertanya mengapa Najib tidak membuka semula siasatan ke atas kematian misteri itu walaupun mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Najib bagaimanapun berkata masalah Lim dan Pakatan Harapan ialah mereka akan menolak segala siasatan dan keputusan mahkamah sebelum ini sebagai tidak adil.

“Kini Lim dan PH tidak ada alasan lagi. Semua kertas siasatan, kuasa agensi siasatan untuk kes pembunuhan dan mahkamah ada pada tangan kerajaan PH.

“Tiada sebab untuk mereka tidak mengambil langkah tanpa lengah mewujudkan siasatan khas sebagaimana diarahkan Lim, melainkan mereka masih ada rancangan untuk menggunakan isu ini untuk terus memfitnah saya,” katanya.