Kehadiran Tun M esok bantu lonjak kempen Anwar, kata Wan Azizah

Wan Azizah berkata perdana menteri biasanya tidak hadir kempen PRK tetapi memilih untuk menyokong Anwar di Port Dickson. (Gambar Bernama)

PORT DICKSON: Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir esok dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson mampu melonjakkan lagi sokongan kepada ketua umum PKR itu.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM juga merupakan sesuatu yang positif kepada kempen Anwar.

“Alhamdulillah kita memang rasa bangga dan terharu kerana Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri selalunya tidak datang kempen pilihan raya kecil namun dia pilih untuk datang ke Port Dickson untuk beri sokongan dan kempen kepada Anwar,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir Karnival Mini Keluarga Bestari di Taman Intan Perdana, di sini.

Dr Mahathir dijadualkan hadir ke Port Dickson malam esok dan akan bergandingan semula dengan Anwar di atas satu pentas selepas 20 tahun.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas bagi memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Hari mengundi ditetapkan pada 13 Okt manakala pengundian awal 9 Okt.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43% pengundi Melayu, Cina (33%), India (22%) dan lain-lain kaum (2%).