Lapan individu ditahan tiada kaitan dengan pusat tahfiz, kata persatuan tahfiz Perlis

8 suspek itu terdiri daripada 6 pelajar warga asing, seorang bekas pelajar tempatan dan bekas tenaga pengajar warga asing di sebuah pusat pengajian Islam di Perlis.

KANGAR: Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (PINTA) Perlis menegaskan pusat pengajian Islam di Perlis yang dikaitkan dengan penahanan 8 lelaki kerana disyaki terlibat dalam perbuatan memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan persekutuan yang dilaporkan media semalam, bukan sebuah pusat pengajian tahfiz.

Pengerusinya Muhd Inzaar Haqieqie Ismail berkata pusat pengajian itu sekadar berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIP) atas nama pusat pengajian tahfiz, namun sebenarnya ia lebih merupakan sebuah pusat pengajian kitab.

“Selain tidak berdaftar di bawah PINTA, kesemua pengajian yang disediakan di pusat tersebut ialah pengajian kitab sepenuh masa walaupun terdapat juga pelajar-pelajar mereka yang menghafaz al-Quran secara sambilan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Fuzi Harun mendedahkan 8 lelaki termasuk 7 warga asing ditahan dalam operasi Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor, pada 24 Sept lepas.

Lapan suspek itu terdiri daripada 6 pelajar warga asing, seorang bekas pelajar warga tempatan dan seorang bekas tenaga pengajar warga asing di sebuah pusat pengajian Islam di Perlis.

Mengakui terkejut dengan berita penangkapan itu, Muhd Inzaar berkata insiden itu sedikit sebanyak menyebabkan nama pusat tahfiz di Perlis tercemar, malah beliau risau dengan persepsi bahawa negeri itu menjadi pusat penyebaran fahaman dan dakyah keganasan atau radikal.

“Sebagai sebuah persatuan yang menaungi institusi tahfiz di Perlis, kami berharap penangkapan ini tidak dikaitkan dengan institusi tahfiz… tuduhan terhadap mereka perlulah dijawab oleh individu itu sendiri,” katanya dan menambah, setakat ini terdapat 10 institusi tahfiz yang berdaftar di bawah persatuan itu.

Muhd Inzaar berkata institusi tahfiz yang menjadi ahli PINTA sentiasa berpegang dengan ajaran Islam, Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Semalam Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata penahanan 8 individu itu tidak bermakna Perlis menjadi pusat penyebaran fahaman radikal, malah semua pusat pengajian agama di negeri itu perlu melalui proses tapisan keselamatan berhubung pengambilan pelajar dan tenaga pengajar serta disahkan ‘bersih’ oleh polis.