Najib desak tangani defisit berganda selepas Bank Dunia turunkan unjuran

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mendesak kerajaan manangani ancaman defisit berganda selepas Bank Dunia minggu lalu menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Walaupun berita ini dilaporkan dengan agak meluas di luar negara tetapi media tempatan tidak membuat liputan luas mengenainya,” kata Najib di Facebook hari ini.

Beliau mengingatkan dia pernah memberi amaran tentang situasi defisit berganda seawal Ogos lagi menerusi wawancara dengan FMT.

Dalam temubual itu, Najib berkata negara boleh berhadapan defisit dagangan jika permintaan domestik dan import terus meningkat dalam keadaan pertumbuhan eksport merosot. “Itu bermakna 3 kali defisit,” katanya ketika itu.

Bekas perdana menteri hari ini berkata dia khuatir membaca laporan dagangan antarabangsa bagi Ogos yang diterbitkan kerajaan minggu lepas. Menurut Najib, laporan itu menunjukkan eksport menurun manakala import naik tinggi, menyebabkan lebihan dagangan antarabangsa jatuh dengan banyak.

“Iaitu paling rendah bagi tempoh 45 bulan. Laporan itu juga mengesahkan eksport minyak sawit telah jatuh sebanyak 27% berbanding unjuran 26%,” katanya.

“Nampaknya kebimbangan saya pada masa itu semakin menjadi kenyataan. Saya harap kerajaan Pakatan Harapan sentiasa prihatin tentang kemungkinan berlakunya 3 kali ganda defisit ini.”

Sementara itu, beliau sempat mengulas tentang jumlah hutang negara, dengan merujuk kepada laporan terkini dari agensi penarafan antarabangsa Moody’s, Standard & Poors dan Fitch Ratings.

“Tiada satu pun dari ketiga-tiga agensi penarafan itu menyebut hutang negara Malaysia sebagai RM1 trilion. Saya juga baca laporan Bank Dunia minggu lalu dan mereka juga tidak menyebut hutang Malaysia adalah RM1 trilion,” katanya.

Najib menyorot perhatian pembacanya kepada jumlah hutang negara menurut laporan terkini Bank Negara.

“Laporan terkini Bank Negara juga menyatakan hutang kita pada akhir Jun 2018 ialah RM725 bilion iaitu kenaikan dari hutang RM686 bilion pada akhir bulan 2017. Juga bukan RM1 trilion,” katanya.