PAS yakin mahkamah akan singkir Anwar

PORT DICKSON: PAS berharap mahkamah akan mengisytiharkan calon dengan undi kedua terbanyak akan terpilih menjadi Ahli Parlimen Port Dickson, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dan hilang kelayakan selepas itu.

Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan hari ini mengulangi dakwaan Anwar tidak layak bertanding pada pilihan raya kecil Port Dickson kerana Agong hanya memberikan “pengampunan penuh” dan bukan “pengampunan bebas”.

“Kalau kita dapat undi kedua terbanyak, ada kemungkinan kita diisytiharkan pemenang,” katanya pada sidang media di pusat operasi PAS di Bagan Pinang.

Takiyuddin membuat perbandingan dengan kejadian pada 1995, apabila Wee Choo Keong, bekas calon DAP yang menang kerusi Bukit Bintang pada pilihan raya umum 1995 tetapi hilang kelayakan kerana kes mahkamah.

Beliau berkata mahkamah pilihan raya menerima petisyen lalu mengisytiharkan calon Barisan Nasional (BN) Lee Chong Meng, yang meraih undi kedua terbanyak, sebagai ahli Parlimen Bukit Bintang.

Takiyuddin berkata satu kes tentang status Anwar difailkan oleh seorang pengundi, dan dia berharap Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan sebelum 13 Oktober, bagi mengelakkan satu lagi pilihan raya kecil diadakan.

“Saya yakin mahkamah akan singkir Anwar. Kalau mahkamah tak buat keputusan, kami akan buat petisyen,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Takiyuddin berkata “pengampunan penuh” tidak cukup untuk membatalkan larangan berpolitik 5 tahun ke atas Anwar, kerana pemimpin PKR itu masih perlu “pengampunan bebas” untuk membolehkan dia layak menjadi wakil rakyat.

Sementara itu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang media yang sama menyeru semua pihak untuk tidak melibatkan Agong ke dalam pertikaian ini.

“Tidak perlu libatkan Agong dalam perkara ini. Bukan kerja Agong untuk tentukan sama ada Anwar layak atau tidak,” katanya.