Pemilihan: 34,892 anggota PKR di 13 cabang di WP tunai hak hari ini

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yakin pemilihan berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini.

KUALA LUMPUR: Proses memilih kepemimpinan PKR bagi Wilayah Persekutuan bermula hari ini melibatkan 34,892 anggota dari 13 cabang parti itu.

Pengundian bermula seawal pukul 10 pagi tadi dan dijangka berakhir 5 petang ini.

Cabang berkenaan ialah Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa, Titiwangsa, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras, Bandar Tun Razak, Labuan dan Putrajaya.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yakin pemilihan hari ini berjalan lancar tanpa insiden yang tidak diingini dan meminta semua pihak mengutamakan penyelesaian masalah daripada menimbulkan kekecohan.

Fahmi berkata kira-kira 2,000 ahli PKR dijangka keluar mengundi di cabang Lembah Pantai.

“Keseluruhan ada 6,000 ahli, tetapi sasaran 2,000 adalah memadai dan kelihatan kemeriahan hari ini macam pilihan raya umum,” katanya kepada media ketika ditemui di Pusat Komuniti Eco Park Lembah Pantai.

Willayah Persekutuan merupakan negeri keenam yang melaksanakan proses pemilihan yang pertama kali menggunakan sistem ‘e-undi’.