Polis Kelantan siap sedia hadapi banjir

Ketua Polis Kelantan Hasanuddin Hassan berkata kesemua aset seperti bot juga telah siap diperiksa untuk kegunaan menyelamat semasa bencana. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Lebih 4,000 pegawai dan anggota polis Kelantan kini dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi bencana banjir yang sering berlaku ketika musim tengkujuh di akhir tahun di negeri berkenaan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata selain itu kesemua aset seperti bot juga telah siap diperiksa untuk kegunaan menyelamat semasa bencana tersebut.

“Sejak 3 minggu lepas pegawai dan anggota termasuk kakitangan awam di beberapa daerah turut menjalankan latihan berkaitan banjir sebagai persiapan menghadapi bencana,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata pihaknya juga mengenal pasti beberapa kawasan sering berlaku banjir seperti di Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat.

Beliau berkata setakat ini tiada sebarang arahan untuk membekukan cuti mana-mana pegawai dan anggotanya namun tidak menolak kemungkinan tindakan itu diambil sekiranya keadaan mula meruncing.

“Kita juga akan memohon bantuan daripada pasukan polis marin (PPM) Tumpat dan Bukit Aman jika aset yang sedia ada tidak mencukupi untuk operasi menyelamat mangsa,” katanya.