Saifuddin: Usul wajibkan wakil rakyat isytihar harta dibentang bulan ini

Saifuddin berkata langkah itu sangat penting kerana kajian berkaitan rasuah dan integriti mendapati tokoh politik merupakan golongan paling kurang dipercayai.

KUANTAN: Usul yang mewajibkan semua Ahli Parlimen untuk mengisytiharkan harta seperti dilakukan oleh jemaah menteri akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 15 Okt ini.

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah berkata cadangan itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu lepas dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo akan diberikan tanggungjawab mengemukakan usul berkenaan.

“Kami yang menjadi menteri dan timbalan menteri semua buat pengisytiharan harta. Saya rasa ini penting untuk meningkatkan keterbukaan, akauntabiliti dan integriti pemegang jawatan kanan dalam kerajaan.

“Jadi kami rasa setiap Ahli Parlimen juga perlu berbuat perkara yang sama supaya rakyat lebih percaya dengan wakil rakyat selain mengelak penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Tanggungjawab Sosial Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) peringkat Pahang yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Pahang Datuk Seri Sabin Samith di sini, semalam.

Langkah yang bakal diambil itu, katanya sangat penting kerana selalunya hasil kajian yang dibuat berkaitan dengan rasuah dan integriti mendapati tokoh politik paling kurang dipercayai.

“Biasanya apabila kajian dilakukan dalam kalangan rakyat, antara kumpulan yang paling dipercayai ialah doktor, guru, manakala golongan yang paling kurang dipercayai ialah tokoh politik.

Malah apabila bercerita bab politik wang, bab rasuah, ia juga selalu dikaitkan dengan kelompok ini,” katanya.

Saifuddin berkata, tindakan itu juga merupakan satu lagi cara kerajaan PH mengembalikan keyakinan rakyat bawah pimpinan politik boleh mengamalkan sikap integriti dengan lebih baik.

Beliau yang juga menteri luar dan Ahli Parlimen Indera Mahkota berharap usul yang dibawa itu akan mendapat sokongan daripada semua Ahli Parlimen.