SOP boleh ditambah baik, kata Jawi selepas kecoh isu khalwat

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkata tatacara operasi standard (SOP) penguatkuasaan undang-undang kesalahan syariah boleh ditambah baik sekiranya perlu.

Pengarah Mohd Ajib Ismail berkata demikian selepas timbul kekecohan mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa tentang pemeriksaan dan serbuan khalwat yang dilaporkan akhbar tempatan semalam.

“Sekiranya terdapat apa-apa kelompangan, maka SOP akan dinilai dan disemak semula dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanan dan boleh dibuat penambahbaikan sekiranya perlu.

“Jawi terbuka untuk menerima idea, pandangan, cadangan dan teguran dari mana-mana pihak bagi membantu proses penambahbaikan dalam pelaksanaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ajib berkata buat masa ini Jawi memberi perhatian khusus kepada aspek pencegahan supaya orang Islam tidak melakukan kesalahan yang dilarang undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

“Tindakan undang-undang akan diambil sebagai langkah terakhir dengan tujuan mencegah kemungkaran dari terus berleluasa,” katanya.

Semalam, Mujahid mendakwa tajuk sebuah akhbar tempatan tentang penguatkuasaan undang-undang kesalahan khalwat tidak seperti yang dimaksudkan.

Menteri berkata dia tidak pernah menyebut Putrajaya akan menghentikan pemeriksaan dan serbuan khalwat, dan dalam temubual itu dia bercakap tentang “salahguna kuasa dan pencerobohan ruang peribadi yang tidak menggambarkan kaedah dan cara Islam”.

Ajib berkata kenyataan Mujahid itu dipercayai disalahtafsir.