Tengku Abdullah: Pahang akan teruskan operasi cegah maksiat

Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang bertitah program kesedaran agar masyarakat menjauhi semua bentuk jenayah syariah akan diperbanyakkan. (Gambar Bernama)

PEKAN: Pahang akan teruskan usaha cegah maksiat seperti biasa, termasuk melalui serbuan ke kediaman atau premis lain seperti hotel bagi mencegah perlakuan tidak bermoral, titah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Titahnya, apa yang penting ialah sebarang tindakan penguatkuasaan tidak boleh dibuat secara melulu, sebaliknya perlu dilaksanakan dengan mematuhi garis panduan undang-undang, seperti mendapat kelulusan polis dan pihak berkuasa tempatan.

Baginda bertitah demikian ketika ditanya pemberita mengenai laporan media yang memetik kenyataan Menteri Agama Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bahawa tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

“Itu pandangan menteri… tetapi di peringkat negeri khususnya Pahang kita akan teruskan (penguatkuasaan) dan diperhalusi serta lebih berhemah supaya kita dapat membendung jenayah syariah,” titahnya selepas perasmian bengkel catur bagi pelajar sekolah peringkat negeri Pahang di sebuah hotel di sini hari ini.

Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bertitah program kesedaran agar masyarakat menjauhi semua bentuk jenayah syariah akan diperbanyakkan.

“Program kesedaran ini lebih sesuai, malah lebih baik daripada hukuman. Kita mahu mendidik dan bukan hanya menghukum. Saya harap ia dapat membantu terutamanya golongan muda patuh kepada agama serta menjauhi maksiat atau jenayah syariah lain,” titahnya.