Untung tinggi bon AS akibatkan kemasukan dana rendah

Gambaran keseluruhan sektor korporat kekal tidak menarik dan pelabur tempatan secara beransur-ansur berhenti menyokong pasaran. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Keuntungan tinggi terhadap kertas bon Amerika Syarikat mencetuskan reaksi yang agak spontan dalam kalangan pelabur minggu ini, menyebabkan pasaran tempatan merekodkan sedikit penyusutan ke atas aliran kemasukan dana bersih, kata Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities, Pong Teng Siew.

Pada asas Khamis ke Khamis, aliran masuk bersih susut kepada kira-kira RM140 juta daripada RM223.2 juta minggu lalu.

Pong berkata, keuntungan bon Amerika Syarikat (AS) yang tinggi berpotensi mempercepatkan penilaian semula kadar faedah AS.

“Peningkatan kadar faedah akan mendatangkan kesan kepada pasaran hartanah AS, walaupun ia akan memberi faedah kepada sektor kewangan. Ia adalah alasan yang mencukupi untuk menyebabkan pasaran menjadi gelisah,” katanya.

Pong juga berkata, perang perdagangan antara AS dan China turut menjadi fokus semula dengan Naib Presiden AS, Mike Pence menuduh China campur tangan dalam hubungan antarabangsanya.

Ini mengalihkan sengketa perdagangan kepada ruang lingkp yang berbeza sama sekali, jelasnya.

“Pada masa ini, ia lebih daripada perang perdangangan, ia membabitkan politik.”

Dari sudut pandangan dalam negeri, Pong berkata, perolehan yang rendah sektor korporat yang dilaporkan mengurangkan lagi minat pelabur.

Gambaran keseluruhan sektor korporat kekal tidak menarik dan pelabur tempatan secara beransur-ansur berhenti menyokong pasaran, katanya.

“Indeks penanda aras di Bursa Malaysia berada dalam aliran tinggi sehingga 28 Ogos kerana dana tempatan masih membeli dan berupaya mengimbangi aliran keluar asing.

“Pada September dana berkenaan mula memasuki pasaran tetapi pelabur tempatan berhenti menyokong pasaran disebabkan musim laporan kewangan yang tidak memberangsangkan,” jelasnya.

Jumlah aliran kemasukan bersih sejak permulaan September adalah RM206.6 juta.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata prospek berhubung kadar faedah yang tinggi di AS sentiasa menjadi faktor asas yang menentukan corak aliran dana asing.

“Ini adalah benar apabila terdapat tanda ekonomi AS semakin baik, yang menyebabkan kadar inflasi kekal pada tahap tinggi. Justeru, ia menyokong sebab untuk peningkatan kadar seterusnya pada Disember dan kemudiannya pada 2019.

“Kesemua ini akan mempunyai implikasi terhadap aliran dana memandangkan Rizab Persekutuan (Fed) dijangka meningkatkan kadarnya, yang mana adalah positif kepada dolar, dan kerana itu, kita akan menyaksikan aliran keluar dana berlaku di pasaran baru muncul,” tambahnya.

Berkenaan ringgit, Pong berkata, aliran menurun akan berterusan disebabkan oleh pengukuhan dolar AS.

“Kelihatannya ringgit akan terus menurun. Pasaran adalah baik sehingga minggu terakhir September, namun kerana Fed meningkatkan penanda arasnya sebanyak 25 mata asas daripada jajaran 2% kepada 2.25% , maka kita akan menyasikan kesannya,” jelasnya.

Peningkatan kadar faedah AS disertai dengan kadar inflasi yang kukuh dan kadar faedah berjadual berkenaan sehingga 2020, akan memberikan kesan tidak baik kepada ringgit,” tambahnya.