Anwar: 1MDB, Felda, adalah masalah baru yang tidak pernah berlaku

Anwar berkata tidak mudah untuk mendapatkan individu yang bersedia memberi kenyataan berkaitan skandal 1MDB. (Gambar Bernama)

PORT DICKSON: Calon pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson mewakili Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tugas mengurus kerajaan sekarang semakin mencabar kerana banyak masalah yang dihadapi tidak pernah berlaku sebelum ini.

Dalam satu majlis malam tadi, Anwar berkata antara masalah itu termasuklah isu kewangan melibatkan 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji.

Merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad, beliau berkata perdana menteri dilaporkan berkata beliau tidak pernah berhadapan masalah sedemikian ketika menjawat jawatan itu sebelum ini.

“(Pentadbiran lepas) tidak ambil tindakan, jadi sekarang kita berhadapan keadaan yang sangat sukar,” tambahnya.

“Ada orang bertanya, kenapa Anwar hanya bangkitkan isu lama? Sekarang kita perlu membayar (harga) masalah yang disebabkan pentadbiran lama. Itu sebabnya saya beritahu mengurus kerajaan sekarang sangat mencabar”

Anwar berkata tidak mudah untuk mendapatkan individu yang bersedia memberi kenyataan berkaitan skandal 1MDB.

“Anda ingat mudah untuk mendakwa bekas perdana menteri?,” soal beliau, merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak yang kini menghadapi 32 tuduhan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang.

Anwar juga membidas peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan terhadap beliau dalam perbicaraan “Liwat 2”.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 5 tahun pada 2015 selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Anwar dibebaskan setelah diberi pengampunan Diraja pada 16 Mei tahun ini.

“Sekarang dia (Shafee) pula didakwa,” kata Anwar, merujuk kepada 4 tuduhan pengubahan wang terhadap peguam tersebut berkaitan wang sebanyak RM9.5 juta yang dipindahkan kepadanya oleh Najib.

“Inilah karma.”

Anwar juga berjanji tidak membuat janji kosong bersempena PRK Dickson 13 Okt depan.

“Masa saya kecil, setiap kali tiba musim pilihan raya umum akan ada janji untuk memasang lebih banyak lampu jalan,” katanya.

“Mereka akan datang dan pasang tiang letrik, tetapi habis pilihan raya, tiang ini akan dibiarkan tanpa lampu,” tambah beliau.

Kerusi Parlimen Port Dickson kosong setelah penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Danyal memenangi kerusi tersebut setelah mendapat 36,225 undi mengalahkan calon Barisan nasional VS Mogan yang meraih 18,515 undi dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594 undi).

PRK Port Dickson menyaksikan pertandingan 7 penjuru antara Anwar dengan calon PAS Lt Kol(B) Mohd Nazari Mokhtar dan 5 calon Bebas, termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad; bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan personaliti media sosial Stevie Chan.