Anwar risau pengundi tidak keluar mengundi

PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bimbang pengundi mungkin tidak keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil Port Dickson Sabtu depan.

Calon Pakatan Harapan (PH) berkata tinjauan menunjukkan pengundi mungkin berasa yakin dan berpuas hati calon pilihan mereka akan menang.

“Saya mahu merayu di sini agar beritahu ahli keluarga yang di luar untuk balik mengundi. Saya minta tolong sebab kalau saya jadi ahli Parlimen Port Dickson, saya akan usahakan untuk tolong Port Dickson bangkit semula.

“Tapi sebelum itu, saya minta kawan-kawan keluar mengundi…panggil anak-anak dan keluarga yang berada di luar kerana terlalu ramai kawan-kawan kita yang berada di luar,” katanya di majlis makan malam malam ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Timbalan Presiden Amanah Datuk Salahuddin Ayub dan Naib Presiden PKR Tian Chua.

Kira-kira 2,000 tetamu terdiri daripada masyarakat setempat dan wakil badan bukan kerajaan hadir ke majlis yang dianjurkan pihak swasta itu.

Dalam pada itu, Anwar berkata kejayaan PH mengambil alih pentadbiran kerajaan adalah hasil perjuangan pemimpin terdahulu seperti mendiang bekas Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh yang tidak harus dilupakan.

“Kita menang sekarang tapi jangan lupa jasa orang yang memulakannya. Kita cuma menuai hasil namun kita tidak akan lupakan kehebatan Karpal Singh,” kata Anwar.

Sementara itu, Gobind yang juga anak mendiang Karpal Singh menyeru pengundi Port Dickson menyokong Anwar kerana kejayaan PH mengambil alih teraju kerajaan pusat berpunca daripada reformasi yang dicetuskan bekas timbalan perdana menteri tersebut 20 tahun lalu.

“Beliau banyak berjasa kepada kita. Dia seorang pejuang, dia kawan saya, kita telah melalui pelbagai kesusahan bersama tapi sekarang nasibnya akan ditentukan oleh pengundi di Port Dickson.

“Masa depan beliau akan ditentukan oleh anda. Ini penting sebab dia bakal perdana menteri,” kata Gobind.