Azmin: Khazanah tak bincang lantik warga asing jadi ahli lembaga pengarah

Azmin Ali berkata, mesyuarat pertama bulan lalu membincangkan Khazanah memerlukan perwakilan padu serta pasukan profesional yang biasa dengan isu bagi mengelola dan mengurus Khazanah.

KUALA LUMPUR: Lembaga pengarah Khazanah Nasional Bhd belum membincangkan tindakan melantik warga asing sebagai ahli lembaga pengarahnya, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin yang juga ahli lembaga Khazanah, berkata mesyuarat pertama bulan lepas membincangkan perlunya perwakilan padu serta pasukan profesional yang biasa dengan isu bagi mengelola dan mengurus Khazanah.

“Tidak ada perbincangan mengenainya (mengambil warga asing),” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Khazanah Megatrends 2018 bertema “Keseimbangan membentuk pasaran, firma, persatuan dan rakyat” hari ini.

The Star baru-baru ini melaporkan warga asing boleh dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Khazanah yang merupakan sebahagian strategi kumpulan itu untuk memanfaatkan kepakaran yang pelbagai.

Ditanya sama ada terdapat perubahan dalam mandat pelaburan Khazanah, Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi, berkata ia perlu melihat cabaran baru, termasuk memisahkan pembangunan strategik Khazanah dan bahagian komersialnya.

“Saya berpendapat beberapa program pembangunan strategik perlu dipertingkat dari segi penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pelaburan hijau.

“Bagi aspek komersial, kami terlibat dengan syarikat-syarikat yang berbeza untuk memastikan pulangan baik dan positif kepada syarikat, dan pada masa sama Khazanah berperanan terlibat dalam R&D, selain membantu kerajaan dalam aset-aset strategik.”

Bagi semakan laporan separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 minggu depan, Azmin berkata, masalah dan cabaran pembangunan akan dikenal pasti serta inisiatif baru akan dicadangkan.

“Kami juga akan bertemu editor dari media sehari, dua sebelum pembentangan laporan itu.”

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membentangkan laporan itu di Parlimen pada 18 Oktober ini.