Cegah khalwat selepas nasihat, aduan dan bukti kukuh, kata Mujahid

Mujahid berkata, perlu ada bukti dan waran sebelum ‘ketuk pintu’ dalam operasi cegah khalwat.

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan dan tatacara hukuman syariah bagi pencegahan khalwat hanya boleh dilakukan selepas proses nasihat, aduan dan bukti kukuh dibuat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata pelaksanaan hukum jenayah syariah seperti khalwat perlu mempunyai bukti kukuh sebelum tindakan pencegahan boleh dibuat oleh pihak berkuasa.

“Bila kita mahu kuat kuasakan sesuatu, kena pastikan sama ada ia berlaku dalam ruangan awam atau ruang peribadi. Jika anda nampak jiran anda membuat sesuatu yang tidak baik, maka tanggungjawab anda sebagai jiran ialah menasihati orang itu.

“Jika perkara yng berlaku dalam ruang peribadi melibatkan orang awam seperti masyarakat mengesyaki sesuatu yang mencurigakan dan mereka membuat aduan, maka di situlah prosedur operasi standard (SOP) mula berjalan.

“Semua laporan kepada pihak berkuasa akan disiasat. Bila sudah disiasat dan ada bukti, kena keluarkan waran sebelum boleh ketuk pintu,” katanya pada sidang media selepas persidangan meja bulat Falsafah dan Tatacara Hukuman Syariah di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mujahid dilaporkan mengutuk tindakan memecahkan pintu untuk menahan pesalah khalwat dan berharap ia tidak akan berlaku dalam pembaharuan prosedur yang akan dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata tidak timbul isu tentang operasi pencegahan khalwat sama ada di hotel bajet mahupun bertaraf 5 bintang, selagi ia dilakukan dengan SOP yang betul dan disertakan bukti yang kukuh.

“Bukan pengkuat kuasa agama sahaja perlu ada waran, polis juga perlu ada. Ia tidak mudah dilakukan.

“Isunya bukan hotel 5 bintang atau hotel bajet, asalkan ada SOP dan bukti kuat, jadi tiada pengecualian,” jelasnya.