Cukai baik boleh rangsang ekonomi Malaysia, kata pemenang Nobel

Joseph Stiglitz (kanan) dan Yilmaz Akyuz menemui Dr Mahathir Mohamad di Perdana Putra hampir sejam hari ini. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Terdapat banyak jenis cukai baik yang boleh diperkenalkan untuk merangsang ekonomi Malaysia bagi mewujudkan masyarakat saksama dalam isaha mengurangkan hutang melebihi RM1 trilion, kata ahli ekonomi yang memenangi hadiah Nobel, Joseph Stiglitz.

Beliau berkata, cukai warisan, cukai keuntungan modal dan cukai hartanah untuk hartanah pegangan besar, sebenarnya baik untuk ekonomi serta masyarakat.

“Saya turut berpendapat cukai karbon adalah cukai yang amat baik kerana ia menggalakkan pertumbuhan ekonomi hijau dan dapat memacu negara ke arah masyarakat lebih inovatif dan hijau,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, Stiglitz yang juga bekas ketua ekonomi Bank Dunia dan Yilmaz Akyuz, bekas ketua ekonomi South Centre berpangkalan di Geneva, membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perdana Putra.

Kedua-dua ahli ekonomi terkemuka itu berada di sini untuk menghadiri Khazanah Megatrends Forum 2018 di ibu negara.

Mengulas pertemuan dengan Dr Mahathir hampir sejam, Stiglitz berkata, ia menyentuh isu ekonomi utama yang dihadapi Malaysia dan dunia, serta potensi untuk kestabilan global.

“Kami turut membincangkan pengurusan hutang yang dihadapi Malaysia (daripada kerajaan terdahulu),” katanya sambil menegaskan kepentingan mengenai ketelusan kerajaan.

Ditanya sama ada Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) perlu diratifikasikan, Stiglitz berkata: “Saya berpendapat ia satu kesilapan untuk Malaysia meratifikasikan perjanjian itu. Perjanjian tersebut dirangka untuk memberi manfaat kepada Amerika Syarikat (AS) berbanding Malaysia dan negara lain.

“Manfaat untuk Malaysia lebih kecil, dan kini dengan AS menarik diri (daripada TPP), manfaatnya lebih kecil, iaitu kos, terutamanya dengan Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) dan harta intelek amat tinggi.”