Kes bunuh kucing: Suspek ke-3 direman 4 hari

Mahkamah Majistret Selayang membenarkan permohonan reman 4 hari ke atas lelaki berusia 41 tahun ini dalam kes membunuh kucing di sebuah kedai dobi layan diri, pada 11 September lalu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang lagi suspek berhubung kes penderaan seekor kucing yang ditemui mati selepas dimasukkan ke dalam mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria, Batu Caves, direman 4 hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Selayang.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membenarkan permohonan polis untuk mereman lelaki berusia 41 tahun itu sehingga Khamis ini bagi membolehkan siasatan berhubung kes bunuh kucing itu.

Siasatan terhadap lelaki yang merupakan pekerja kontrak itu dilakukan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan membunuh binatang yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, suspek yang diwakili peguam Rajasurian Pillai masuk ke dalam bilik reman jam 10.15 pagi dan diiringi polis serta keluar kira-kira 45 minit kemudian.

Difahamkan, polis menahan suspek di Seri Kembangan malam tadi, selepas melarikan diri hampir sebulan selepas kejadian itu.

Pada 21 September lalu, 2 rakannya, A Mohanraj, 41, pemandu teksi dan rakannya, S S Satthiya, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan dengan kejam menyebabkan penderitaan terhadap haiwan itu.