Kes bunuh profil tinggi: Henti beri alasan, Najib beritahu Kit Siang

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mencabar veteran DAP, Lim Kit Siang menggunakan pengaruhnya untuk Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan siasatan semula ke atas kes pembunuhan berprofil tinggi.

Bekas perdana menteri itu berkata, alasan Lim tiada kuasa membuka semula kertas siasatan tidak munasabah.

“Kit Siang sendiri yang tiba-tiba mahu membuka siasatan khas untuk kes-kes pembunuhan itu. Bila saya setuju dengannya, Kit Siang pula yang bagi pelbagai alasan tidak dapat melakukannya, termasuk alasan lembab terbaru sebentar tadi yang dia bukan PM.

“Takkan pemimpin ‘de-facto’ DAP ini dengan 42 kerusi Parlimen tidak dapat memujuk perdana menteri yang partinya (hanya mempunyai) 13 kerusi untuk berbuat demikian?

“Ataupun dia takut kebenaran akan terbukti bahawa saya langsung tidak terlibat dan saya telah difitnah jentera propaganda DAP selama sepuluh tahun?” tulisnya di Facebook hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Lim akan membuka semula siasatan ke atas kes pembunuhan wanita Mongolia,
Altantuya Shaariibuu, pengasas AmBank, Hussain Najadi dan timbalan pendakwa raya, Datuk Anthony Kevin Morais, jika beliau ialah perdana menteri.

Bagaimanapun, Lim berkata, beliau bukannya perdana menteri dan terpulang kepada Dr Mahathir untuk menentukannya.

Katanya, Najib ialah “orang terakhir” yang layak bercakap mengenai keadilan, melainkan ahli Parlimen Pekan itu sedia menjadi saksi pertama dalam siasatan semula skandal 1MDB oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.