Mujahid: SOP penguatkuasaan ‘tidak maksum’, layak diperbaiki

Mujahid berkata kontroversi berhubung laporan akhbar berbahasa Inggeris itu jelas menggambarkan mentaliti masyarakat di negara ini, terutama golongan agamawan.

KUALA LUMPUR : Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan intipan dan cegah khlawat sebagai “tidak maksum” (suci) dan layak dikaji dan diperbaiki.

Mujahid berkata, beliau dimaklumkan bahawa SOP penguatkuasaan dan intipan tersebut sudah lama tidak dibincangkan dengan pihak sepatutnya untuk tujuan kaji semula dan penambahbaikkan.

“Apa SOP ni maksumkah? Tidak, semua ini bukan maksum cuma ia perlu diperbaiki. Ia perlu dilihat semula, cara pelaksanaannya, salah ke?,” soal beliau semasa mempengerusikan persidangan meja bulat Falsafah dan Tatacara Hukukan Jenayah Syariah dalam Mencapai Matlamat Rahmatan lil Alamij di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kontroversi berhubung temu bual beliau dengan sebuah media berbahasa Inggeris beberapa hari lalu.

Sebelum ini media kecoh berikutan satu laporan akhbar yang mendakwa kerajaan tidak lagi melaksanakan serbuan khalwat ke atas pasangan Islam.

Bagaimanapun, semalam, Mujahid menafikan beliau membuat kenyataan sedemikian dan mendakwa kenyataan asal beliau dimanipulasi oleh akhbar berbahasa Inggeris tersebut.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata kontroversi itu jelas menggambarkan mentaliti masyarakat di negara ini, terutama golongan agamawan.

“Baru dapat tengok tahap mentaliti kita. Ada sesetengah orang, dia tak tengok pun tanskrip penuh, dia hanya tengok tajuk, lalu memaki hamun dan mencera.

“Orang cakap kat media sosial saya tak hairan, tapi yang tahap agamawan, peringkat orang yang dihormati oleh masyarakat. Paling tidak, ambillah pendekatan meminta penjelasan daripada saya dulu, apa sebenarnya menteri kata?,” jelasnya.

Katanya, apabila ditegur dan transkrip penuh dikeluarkan, barulah pihak berkenaan berasa malu dan tidak dapat menyorokkan muka mereka.