Pemilihan di Pahang tiada masalah, kata JK pemilihan PKR

Rashid berkata keputusan itu belum rasmi kerana mereka perlu mengauditnya terlebih dahulu berikutan kehadiran ‘pengundi yang diragui’. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (JPP) PKR, Datuk Rashid Din hari ini menolak dakwaan berlakunya sesuatu yang “tidak kena” dalam pemilihan parti itu peringkat negeri Pahang selepas seorang pemimpin kanan PKR menyuarakan keraguan terhadap keputusannya.

Bercakap kepada FMT, Rashid berkata sejauh pengetahuannya, tidak ada yang “tidak kena” dengan pemilihan itu hujung minggu lepas.

Beliau memberi respons kepada kenyataan Zuraida Kamarudin bahawa kemenangan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli di negeri itu diragui.

Zuraida, yang bertanding kerusi naib presiden, dan pasukan beliau berhadapan saingan hebat kumpulan Rafizi bagi merebut jawatan tertinggi parti. Rafizi pada waktu sama mencabar kerusi timbalan presiden yang disandang oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Rafizi mengisytiharkan kemenangan beliau di Pahang selepas meraih 2,383 undi berbanding Azmin, 2,298.

Bagaimanapun Rashid berkata keputusan itu belum rasmi kerana mereka perlu mengauditnya terlebih dahulu berikutan kehadiran “pengundi yang diragui”.

“Terdapat “pengundi diragui” di semua negeri. Kami perlu memeriksa sama ada mereka benar-benar ahli, dan bertindak sewajarnya.”

Persaingan utama dalam pemilihan PKR kali ini ialah bagi jawatan timbalan presiden. Rafizi berkata beliau memperoleh kelebihan tipis selepas 6 negeri selesai mengundi.

Kehangatan dalam persaingan yang berjalan dicemari dengan masalah teknikal, malah insiden pergaduhan berikutan rasa tidak puas hati sesetengah ahli tentang cara pemilihan itu diuruskan, termasuk penggunakan sistem e-voting.