Perdana menteri Libya rombak Kabinet selepas pertempuran di Tripoli

Kerajaan dijangka mengumumkan pakej susun atur keselamatan membabitkan pengunduran kumpulan bersenjata dari kementerian dan institusi negara selepas pertempuran baru-baru ini. (Gambar Reuters)

TRIPOLI: Perdana Menteri Libya Fayez al-Serraj, yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menggantikan Menteri Dalam Negeri serta merombak beberapa jawatan Kabinet lain dalam langkah yang dilihat sebagai percubaan untuk memperluas sokongan kepadanya di seluruh negara dan mempertingkat keselamatan di ibu negara.

Tripoli dilanda beberapa pertempuran antara kumpulan bersenjata yang bersaing untuk mendapatkan akses kepada dana awam dan kuasa, sebahagian kekecohan yang berlaku sejak penggulingan Muammar Gaddafi pada 2011.

Keganasan bermula apabila beberapa pihak yang berpangkalan di luar ibu negara melancarkan serangan pada akhir Ogos ke atas 4 kumpulan dikaitkan dengan kerajaan Tripoli.

PBB kini cuba merundingkan satu gencatan senjata dengan merancang susun atur keselamatan yang lebih meluas.

Dalam rombakan Kabinet semalam, Serraj melantik Fathi Ali Bashagha sebagai menteri dalam negeri.

Beliau berasal dari barat bandar Misrata dan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa kumpulan bersenjata, sesetengahnya mengambil bahagian dalam pertempuran di Tripoli.

Kerajaan turut menamakan menteri ekonomi industri baru, Ali Abdulaziz Issawi, yang berasal dari Benghazi di timur Libya, lokasi pentadbiran saingan.

Issawi merupakan tokoh veteran dalam kalangan pemberontak yang menggulingkan Gaddafi.

Jurucakap Serraj, Mohamed al-Salak, berkata perubahan dilakukan “dalam konteks untuk mempromosi pembaharuan ekonomi dan keselamatan.”

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut.

Misi PBB ke Libya, UNSMIL, menyatakan dalam Twitter bahawa ia sedia untuk “menyokong menteri baru bagi melaksanakan susun atur keselamatan di Tripoli dalam usaha menggerakkan pembaharuan ekonomi dan mencari penyatuan institusi nasional Libya.”

Dikri itu turut menyaksikan pelantikan Faraj Bomtari sebagai menteri kewangan serta Bashir al-Qantri sebagai menteri belia dan sukan.

Kesemua menteri bertungkus-lumus untuk melakukan impak memandangkan negara itu dikuasai beberapa kumpulan bersenjata.

Kerajaan dijangka mengumumkan satu pakej susun atur keselamatan yang membabitkan pengunduran kumpulan-kumpulan bersenjata dari kementerian dan institusi negara selepas pertempuran baru-baru ini.