Polis gali semula kubur bekas CEO Cradle Fund hari ini

Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor mengesahkan proses penggalian semula kubur berkenaan di Kota Damansara untuk bedah siasat kali kedua. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kubur bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan digali semula selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan isterinya Samirah Muzzaffar untuk menangguhkan proses penggalian kubur itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor ketika dihubungi mengesahkan proses penggalian semula kubur berkenaan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, di sini, pagi ini untuk melakukan bedah siasat kali kedua.

“Polis tidak pernah menutup siasatan kes berkenaan (kes kematian CEO Cradle Fund) malah kami masih meneruskan siasatan,” katanya.

Sementara itu, LS Leonard, peguam yang mewakili Samirah, tiba di tanah perkuburan itu pada pukul 9.30 pagi untuk memantau kerja penggalian semula kubur.

Mazlan Mansor.

Leonard ketika ditemui media di luar kawasan perkuburan enggan mengulas lanjut berhubung penggalian semula kubur itu.

Turut dilihat masuk ke kawasan perkuburan itu beberapa anggota keluarga Allahyarham Nazrin selepas Leonard tiba.

Pada 3 Ogos lalu, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin ditemui mati dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lepas.