PRK Port Dickson: Lebih 7 ribu pengundi awal mengundi esok

Proses pengundian awal akan disaksikan ejen calon yang bertanding dan pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta NGO yang dilantik SPR.

PORT DICKSON: Seramai 7,268 pengundi awal bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson akan mengundi esok.

Daripada jumlah itu, 6,690 pemilih adalah dalam kalangan anggota tentera dan pasangan mereka manakala 578 adalah anggota polis.

Pegawai Pengurus PRK Parlimen Port Dickson Khairy Maamor berkata kesemua 3 pusat pengundian awal itu, di Kem Segenting, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dan Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) membabitkan 13 saluran mengundi akan dibuka mulai 8 pagi sehingga 5.30 petang.

“Bagaimanapun 3 saluran di IPD Port Port Dickson iaitu khemah A, B dan C akan ditutup awal pada pukul 12 tengah hari kerana kekurangan jumlah pengundi,” katanya hari ini.

Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen calon yang bertanding di bahagian pilihan raya yang berkenaan dan pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, kesemuanya di Selangor, selepas pilihan raya umum ke-14 9 Mei lepas.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk membolehkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Kerusi tersebut, yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008, mempunyai 5 kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Chuah dan Lukut, masing-masing dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (Barisan Nasional) dan Sri Tanjung (PKR).

SPR menetapkan Sabtu ini (13 Okt) sebagai hari pengundian.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar terdiri daripada 43% pengundi Melayu, Cina (33%), India (22%) dan lain-lain kaum (2%).