Putrajaya digesa henti guna Akta Hasutan

Sevan Doraisamy berkata, penggunaan Akta Hasutan jelas melanggar hak asasi manusia dan ‘sindiran’ terhadap komitmen PH seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum lalu.

PETALING JAYA: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa Putrajaya menghentikan penggunaan Akta Hasutan 1948 dan mengambil tindakan tegas, seperti mengeluarkan moratorium kepada pihak berkuasa.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata, mereka terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang polis akan terus menggunakan akta itu kerana kerajaan belum menetapkan masa untuk memansuhkannya.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) mengakui kelemahan Akta Hasutan dan berjanji memansuhkannya dalam Kajian Semula Berkala Universal ke-3 bagi Malaysia.

“Walaupun BN menarik balik pendirian itu untuk tujuan politik, semangat memansuhkan Akta Hasutan tidak hilang dengan tindakan ‘U-turn’.

“Sejak peralihan kuasa 9 Mei 2018, Suaram dan masyarakat awam lain secara konsisten menggesa dan menyokong moratorium ke atas undang-undang drakonian yang terus menindas rakyat Malaysia setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sevan berkata, Suaram mengakui pembaharuan undang-undang ialah proses panjang dan ini sebabnya ia penting untuk melaksanakan moratorium bagi menghentikan penggunaan Akta Hasutan.

“Tanpa sebarang moratorium dan arahan atau pendirian jelas daripada Kabinet berhubung perkara itu, ia tidak mengejutkan agensi penguatkuasaan, khasnya polis akan terus menggunakan Akta Hasutan dan undang-undang drakonian lain.’

Ini katanya, jelas melanggar hak asasi manusia dan “sindiran” terhadap komitmen Pakatan Harapan (PH) terhadap pembaharuan hak asasi manusia seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum lalu.

“Kedudukan atau kurangnya pendirian kerajaan PH kini tidak dapat dipertahankan dan ianya sindiran terhadap aspirasi perubahan yang disokong semua rakyat Malaysia.”

Kerajaan pimpinan PH dikritik aktivis dan ahli daripada parti komponen sendiri, seperti ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh kerana terus menggunakan Akta Hasutan.

Baru-baru ini, polis menahan Azman Noor Adam yang merupakan adik kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam menggunakan akta itu kerana berkongsi catatan media sosial yang dianggap menghina Dr Mahathir.

Di landasan betul

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata Putrajaya di landasan betul memansuhkan akta kontroversi itu dan ia sepatutnya dibentangkan di sidang Dewan Rakyat akan datang.

“PH berada di landasan untuk memansuhkan Akta Hasutan. (Peguam negara) sedang mengusahakannya. Baru semak semula petang tadi,” tulisnya di Twitter hari ini.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan di Kabinet Rabu ini dan sidang Parlimen bermula 15 Oktober ini.

Pemansuhan Akta Hasutan sebahagian dairpada manifesto pilihan raya PH kerana ia boleh disalahgunakan sewenang-wenangnya dan dijadikan alat politik untuk menahan penentang politik di negara ini.