Saya gembira berkempen untuk Anwar, kata Dr M

Anwar berbual dengan Dr Mahathir di pentas ceramah mega PH di Port Dickson, malam ini.

PORT DICKSON: Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu ribuan pengundi di Port Dickson, beliau gembira berkempen untuk bekas musuh politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata, pembangkang dahulu gagal mencapai kemenangan kerana tidak cukup bersatu.

Katanya, sepanjang memegang jawatan pengerusi Barisan Nasional (BN) ketika menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003, beliau yakin BN boleh menang.

“Setiap kali saya memimpin, saya yakin BN boleh menang dan saya tidak takut pembangkang boleh menang kerana tiada perpaduan dalam kalangan mereka.

“Itu sebab mereka kalah. Kalau mereka mahu menang, mereka perlu bersatu dan jujur,” katanya dalam ceramah mega “Mahathir-Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia” di PD Waterfront, malam ini.

Hadir sama ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ini kali pertama Dr Mahathir berkempen untuk calon PH dalam pilihan raya kecil (PRK). Sebelum ini, beliau berkata tidak akan menyertai kempen PRK, tetapi mengubah fikiran bagi menangkis dakwaan beliau tidak sehaluan dengan Anwar.

Dr Mahathir menyeru penyokong PH melupakan sejarah permusuhan beliau dan Anwar, serta bersatu menjadikan PH lebih kuat.

“Anwar dengan saya tak berapa baik, jangan lupa dia (Anwar) masuk Umno, jadi menteri kerana saya.

“Kalau saya nak fikir berkenaan perkara itu, kalau Anwar nak fikir tentang apa terjadi pada dia (dulu), saya tak fikir kita boleh bersatu.”

Berjuang demi rakyat

Pengerusi PH itu berkata, selain Anwar, beliau pernah memenjarakan Menteri Pertahanan, Mat Sabu dan Lim yang juga menteri kewangan.

“Mat Sabu, Guan Eng masuk dalam (penjara) juga, tapi mereka rela lupakan yang lama. Kalau saya nak kira yang lama, kita tak boleh bersatu.”

Katanya, beliau tidak kisah digelar Mahazalim atau Mahafiraun oleh pemimpin PH, sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri dahulu kerana yang penting mereka kini berjaya menumbangkan BN.

“Yang utama bukan nama saya, bukan masalah Anwar, bukan masalah Guan Eng, Mat Sabu, tapi masalah kita punyai kerajaan zalim yang menekan rakyat.

“Kita bukan nak berjuang untuk diri sendiri, tetapi yang penting menyelamatkan negara daripada seorang penyangak yang curi duit rakyat.”

Anwar akan berdepan 6 pencabar lain Sabtu ini, iaitu Mohd Nazari Mokhtar yang mewakili PAS dan 5 calon bebas – bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, Stevie Chan, Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen dan bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Jentera kerajaan

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak dapat berfungsi dengan baik kerana berdepan masalah penjawat awam masih setia kepada kerajaan terdahulu, tetapi beliau yakin jentera kerajaan dapat dipulihkan tidak lama lagi dan lebih baik daripada dahulu.

“Setelah kita menang, barulah kita tahu betapa buruknya pentadbiran Datuk Seri Najib (Razak).

“Bukan sahaja duit dicuri, tetapi semua pegawai telah dialih fikiran mereka dalam membantu penyangak ini. Mereka pun ada juga jadi penyangak. Bila kita ambil alih, masalah kita ialah untuk memulihkan semula jentera kerajaan.

“Apabila kita dapati ramai daripada mereka, jentera ini dirosakkan oleh Datuk Seri Najib, maka kita terpaksa tukar mereka dan kita ganti dengan orang baru.”

Beliau turut memberi jaminan kepada pengundi India, kerajaan akan mengkaji keperluan mereka dan kerajaan PH akan memerintah tanpa melihat warna kulit dan agama.

Katanya, kerajaan akan membatalkan kontrak yang diberikan kepada orang Melayu yang menyerahkan kontrak kerajaan mereka kepada pihak lain.

Tetapi, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan membantu mereka yang bekerja keras kerana mahu mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

“Jika yang miskin daripada satu kaum dan golongan kaya daripada kaum lain, ia akan mewujudkan ketegangan tidak kira di kawasan bandar atau luar bandar.”