Tiada jadual masa untuk hapus Akta Hasutan, kata Tun M

Dr Mahathir berkata, secara peribadi beliau tiada masalah sekiranya ada pihak menggelarnya dengan pelbagai gelaran tidak enak.

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai jadual masa tertentu untuk memansuhkan Akta Hasutan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, terdapat banyak akta yang ingin dipinda dan dimansuhkan oleh PH dan oleh sebab itu ia mengambil masa untuk dilaksanakan dan perlu pula mematuhi perlembagaan negara.

“Kita tidak boleh tentukan lagi tempoh masanya dengan tepat. Kita mempunyai sejumlah undang-undang yang mahu dimansuhkan dan dipinda, jadi ia memakan masa.

“Hal ini kerana peguam negara perlu melihat semua undang-undang baru, dan terdapat undang-undang itu melibatkan perlembagaan persekutuan.

“Kita perlukan dua pertiga majoriti dan kita tidak ada lagi majoriti itu,” katanya sewaktu ditemui pemberita selepas majlis pelancaran buku bertajuk “Tun Ismail Ali – Paragon of Trust and Integrity” di Sasana Kijang, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, beliau tidak bersetuju sekiranya Akta Hasutan digunakan terhadap mana-mana individu, termasuk kes terbaru yang melibatkan adik seorang pemimpin Umno.

Polis baru-baru menggunakan akta tersebut untuk menahan Azman Noor Adam, adik ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam atas dakwaan menyiarkan imej yang menghina perdana menteri di media sosial.

Dr Mahathir berkata, secara peribadi beliau tidak mempunyai masalah sekiranya terdapat pihak yang menggelarnya dengan pelbagai gelaran tidak enak.

“Akta Hasutan masih ada lagi, untuk memansuhkannya memakan masa, ia perlu dibawa ke Parlimen. Jadi pada masa ni, mereka (pihak berkuasa) boleh terus menggunakan undang-undang itu.

“Tetapi saya tidak peduli berkaitan perkara ini, sesiapa yang mahu menggelar saya dengan pelbagai nama, dipersilakan” katanya.

Sebelum pilihan raya umum ke-14 Mei lepas, PH berjanji akan memansuhkan Akta Hasutan, Akta Majlis Keselamatan Negara dan Akta Anti-berita Tidak Benar sekiranya memenangi pilihan raya itu.