Tukang sapu pulangkan wang RM90,000 tolak sebarang ganjaran

Berita kejujuran dan keikhlasan seseorang memulangkan wang yang dijumpai pastinya menarik perhatian.

Apatah lagi jika ia melibatkan jumlah wang yang besar iaitu hampir RM100,000.

Di bandar Haikou, China, seorang tukang sapu yang dikenali Man menjumpai yang wang kertas bernilai 150,000 yuan (RM90,593) di dalam tong sampah yang kemudian dipulangkan kepada pemiliknya.

Dalam kejadian, tukang sapu itu terserempak dengan beg plastik berat berisi kertas, yang disyaki bukan sampah.

Apabila dibuka ia didapati berisi wang kertas 100 yuan (RM60.40).

“Ia pasti dibuang secara tidak sengaja. Saya pasti pemilik itu sedang mencarinya atau bimbang ia hilang,” kata Man kepada South China Morning Post.

Ekoran itu Man membuat laporan kepada majikan dan pihak polis.

Sungguhpun pemiliknya berjaya ditemui selepas polis menjejaki menggunakan resit pembelian yang terdapat dalam beg itu, Man enggan menerima sebarang ganjaran mahupun ucapan ‘terima kasih’ atas kelakuan baiknya itu.

Ini kerana, menurut Man, ia adalah tugasnya selain prinsip moral yang harus dimiliki semua orang.

Man menolak wang ganjaran 20,000 yuan (RM12,079) yang merupakan gaji setahun yang ditawarkan oleh pemilik wang itu, Zhu seorang ahli perniagaan di bandar sama.

Zhu berkata tukang cucinya secara tidak sengaja membuang bungkusan yang diingatkan sampah.

Bagaimanapun beliau terharu dengan sikap Man yang begitu iklas dan telus dan langsung tidak mengharapkan balasan walaupun hidup dalam keadaan sukar.