Bapa saudara masuk budak dalam mesin basuh didakwa

KUALA KUBU BHARU: Seorang lelaki yang memasukkan anak saudaranya ke dalam mesin basuh dobi layan diri di Bukit Sentosa, Rawang minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini.

Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azmil Muntapha Abas.

Lelaki itu didakwa memasukkan anak saudara lelakinya yang berusia 3 tahun ke dalam mesin basuh secara tergopoh-gopoh sehingga membahayakan keselamatan mangsa di dalam kedai dobi Laundrybar pada 12.30 tengah malam, 2 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 3 bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Khairulazhwa Yusrie Mohamad mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin namun Muhammad Irwan yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan terhadap jaminan.

Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tiada ahli kelurganya yang hadir ke mahkamah untuk diikat jamin dan menetapkan 9 November bagi sebutan semula kes.

Polis menahan tertuduh pada 3 Oktober lepas selepas video kejadian tular di Facebook.

Kejadian yang berlaku pada awal pagi 2 Oktober lepas yang tular di Facebook memaparkan detik cemas kanak-kanak yang terperangkap di dalam mesin basuh itu diselamatkan oleh orang awam.